Skip to main content

Hiburan

Tiket pementasan Puteri Gunung Ledang The Musical habis dijual dalam dua jam

tiket PGL -- kredit Enfiniti Productions
Puteri Gunung Ledang The Musical (PGL The Musical) sekali lagi membuktikan statusnya sebagai antara karya seni persembahan paling ikonik negara apabila kesemua tiket pementasan semulanya habis dijual dalam tempoh hanya dua jam selepas jualan kepada umum dibuka.
Advertisement

KUALA LUMPUR: Puteri Gunung Ledang The Musical (PGL The Musical) sekali lagi membuktikan statusnya sebagai antara karya seni persembahan paling ikonik negara apabila kesemua tiket pementasan semulanya habis dijual dalam tempoh hanya dua jam selepas jualan kepada umum dibuka.

Lebih mengagumkan, lebih 22,000 peminat masih berada dalam senarai menunggu dalam talian pada jam 10 malam, sekali gus mencerminkan permintaan luar biasa yang jauh melebihi kapasiti tempat duduk yang ditawarkan bagi musim pementasan kali ini.

Fenomena itu dilihat bukan sahaja sebagai kejayaan bagi produksi berkenaan, malah turut menjadi petunjuk jelas bahawa minat rakyat Malaysia terhadap teater tempatan dan karya seni persembahan berkualiti terus berada pada tahap tinggi.

Pengarah dan pencipta bersama produksi asal, Puan Sri Tiara Jacquelina menyifatkan sambutan yang diterima sebagai sesuatu yang amat menyentuh hati dan melangkaui jangkaan pasukan produksi.

Menurut beliau, dua dekad selepas pementasan pertama dipersembahkan kepada penonton, sokongan yang ditunjukkan membuktikan kisah Puteri Gunung Ledang masih mempunyai tempat yang istimewa dalam hati rakyat Malaysia.

“Dua puluh tahun lalu, kami hanya mampu berharap PGL akan menjadi sesuatu yang dikenang oleh rakyat Malaysia. Malam ini, rakyat Malaysia mengingatkan kami bahawa mereka tidak pernah melupakannya,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Tiara berkata, angka lebih 22,000 individu yang masih menunggu walaupun tiket sudah habis terjual membawa makna lebih besar daripada kejayaan sebuah produksi semata-mata.

Jelas beliau, situasi itu menunjukkan penonton tempatan masih dahagakan karya yang berakar daripada identiti, bakat dan kreativiti rakyat Malaysia sendiri.

Beliau berharap sambutan luar biasa tersebut dapat memberi keyakinan kepada lebih banyak pihak untuk terus melabur dan menyokong perkembangan industri seni persembahan negara.

Kembali selepas hampir dua dekad

Pementasan 2026 menandakan kepulangan Puteri Gunung Ledang The Musical ke pentas selepas hampir dua dekad, kali ini di Jeffrey Cheah Performing Arts Centre (JCPAC), Sunway Square.

Tiara turut merakamkan penghargaan kepada peminat yang terus setia menyokong karya itu sejak pementasan asal, termasuk mereka yang kini mahu memperkenalkan kisah legenda berkenaan kepada generasi baharu.

Katanya, kepulangan produksi itu menjadi lebih bermakna apabila dapat menghubungkan peminat lama dengan kelompok penonton muda yang bakal menyaksikan PGL buat pertama kali.

Beliau turut menghargai sokongan JCPAC dan individu yang terlibat dalam menghidupkan semula muzikal berkenaan, termasuk Ketua Pegawai Eksekutif JCPAC, Melissa Teoh, yang menjadi pencetus kepada usaha membawa kembali karya ikonik tersebut ke pentas.

Di sebalik kejayaan jualan tiket, Tiara menegaskan, tugas sebenar pasukan produksi baharu sahaja bermula.

Menurutnya, sambutan luar biasa yang diterima meningkatkan lagi tanggungjawab Enfiniti untuk memastikan pementasan yang bakal dipersembahkan memenuhi, malah melangkaui jangkaan peminat.

Beliau berkata, kepercayaan yang diberikan oleh penonton sebelum tirai dibuka perlu dibalas dengan sebuah persembahan yang benar-benar luar biasa.

Ketika ini, pasukan produksi sedang giat menjalani latihan menjelang pembukaan musim pementasan yang dijadual berlangsung pada 31 Oktober depan.

Ada pementasan tambahan?

Dalam pada itu, Tiara mengakui ramai peminat melahirkan rasa kecewa kerana gagal mendapatkan tiket selepas kesemua tempat habis dijual.

Walaupun tiada pengumuman rasmi mengenai pementasan tambahan setakat ini, beliau mendedahkan terdapat beberapa pihak yang telah memulakan perbincangan awal bagi membawa Puteri Gunung Ledang The Musical ke lokasi lain selepas musim pementasan semasa berakhir.

Malah, menurutnya, terdapat minat daripada beberapa negeri untuk menganjurkan pementasan berkenaan pada masa hadapan.

Bagaimanapun, fokus utama pasukan produksi ketika ini adalah memastikan pementasan yang bakal berlangsung dapat disampaikan dengan kualiti terbaik kepada penonton.

Puteri Gunung Ledang The Musical akan dipentaskan dari 31 Oktober hingga 15 November 2026 di Jeffrey Cheah Performing Arts Centre (JCPAC), Sunway Square.

Must Watch Video

Advertisement