NEW YORK: Presiden Persekutuan Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), Gianni Infantino mempertahankan pelaksanaan waktu rehat hidrasi sepanjang Piala Dunia 2026, sambil memberi bayangan peraturan itu mungkin terus dikekalkan.
Beliau berkata langkah tersebut penting bagi melindungi keselamatan dan kesihatan pemain, terutama ketika berdepan cuaca panas melampau di beberapa bandar tuan rumah di Amerika Syarikat, Kanada dan Mexico, lapor Independent.
Menurutnya, rehat singkat itu bukan sahaja membantu pemain mengekalkan tahap prestasi, malah mengurangkan risiko kecederaan berkaitan haba.
“Keselamatan pemain sentiasa menjadi keutamaan. Tempoh rehat ini membantu mengekalkan prestasi selain mengurangkan risiko strok haba,” katanya kepada media.
Pelaksanaan rehat hidrasi selama tiga minit pada setiap separuh masa sebelum ini menerima reaksi bercampur, dengan sebahagian pengurus pasukan dan peminat berpendapat ia menjejaskan rentak permainan.
Bagaimanapun, Infantino menolak kritikan tersebut dan berkata maklum balas daripada pasukan perubatan serta kebanyakan persatuan bola sepak adalah positif.
Beliau berkata FIFA akan terus menilai keberkesanan langkah itu sebagai sebahagian daripada pertimbangan dalam penambahbaikan struktur perlawanan pada masa depan.