Skip to main content

Sukan

Piala Dunia 2026: Korea Selatan perlu bangkit selepas tewas kepada Mexico - Ketua Jurulatih

Soccer Football - FIFA World Cup 2026 - South Korea Press Conference - Estadio Guadalajara, Guadalajara, Mexico - June 10, 2026 South Korea coach Myung-Bo Hong during the press conference REUTERS/Paul Childs
Hong Myung-bo (foto) gesa skuadnya segera bangkit selepas tewas 1-0 kepada Mexico dalam aksi Kumpulan A Piala Dunia FIFA 2026 di Stadium Guadalajara pagi tadi. -Foto Reuters
Advertisement

GUADALAJARA: Ketua jurulatih Korea Selatan, Hong Myung-bo, menggesa skuadnya segera bangkit selepas tewas 1-0 kepada Mexico dalam aksi Kumpulan A Piala Dunia FIFA 2026 di Stadium Guadalajara pagi tadi.

Kekalahan itu menyaksikan Mexico muncul pasukan pertama mengesahkan tempat ke pusingan 32 terbaik selaku juara kumpulan.

Gol tunggal perlawanan dijaringkan oleh Luis Romo pada minit ke-50 selepas kesilapan penjaga gol Korea Selatan, Kim Seung-gyu, yang bertembung dengan rakan sepasukan, Lee Gi-hyuk, ketika cuba mengeluarkan bola.

“Keputusan ini mengecewakan, namun pemain telah melaksanakan pelan taktikal dengan baik secara keseluruhan.

“Gol yang bolos itu amat dikesali, tetapi tidak perlu untuk terus berasa kecewa,” katanya dalam sidang media selepas perlawanan.

Walaupun tewas, Korea Selatan masih berada dalam kedudukan baik untuk mara ke pusingan kalah mati.

Skuad Taegeuk Warriors kini di tangga kedua kumpulan dengan tiga mata daripada dua perlawanan, di belakang Mexico yang mengumpul enam mata maksimum.

Dalam satu lagi perlawanan, Republik Czech dan Afrika Selatan terikat 1-1 sekali gus masing-masing mengutip satu mata.

Korea Selatan dijadual berdepan Afrika Selatan dalam aksi terakhir kumpulan di Monterrey, Rabu depan, dengan keputusan seri sudah memadai untuk mengesahkan tempat ke pusingan 32 terbaik.

“Afrika Selatan memiliki kelebihan dari segi kelajuan. Kami perlu membuat persiapan taktikal lebih rapi untuk perlawanan penentu ini,” kata Hong.

 

Must Watch Video

Advertisement