KUALA LUMPUR: Selangor FC berjaya meloloskan diri ke suku akhir Piala FA 2026/2027 selepas menewaskan Sabah FC 2-1 pada aksi timbal balik pusingan 16 Piala FA 2026/2027 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya.
Kemenangan di laman sendiri itu menyaksikan anak buah Kim Pan Gon melangkah ke kelompok lapan terbaik dengan agregat 4-3 selepas seri 2-2 pada perlawanan pertama minggu lepas.
Selangor memulakan aksi dengan langkah kanan apabila membuka tirai jaringan pada minit ke-36 menerusi Eduardo Sosa untuk mendahului separuh pertama dengan keputusan 1-0.
Memasuki babak kedua pasukan pelawat berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-49 menerusi Park Jung Bin.
Selangor kemudiannya kembali di hadapan menerusi jaringan Chrigor Moraes pada minit ke-56 untuk membolehkan kemenangan memihak kepada tuan rumah.
Skuad Gergasi Merah selepas ini dijadualkan bertemu Star City pada pusingan suku akhir.
Dalam pada itu, aksi di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur menyaksikan Kuala Lumpur (KL) City FC mara ke pusingan seterusnya meskipun terikat tanpa jaringan menentang Perak FA semalam.
Skuad warga kota itu mara selepas menang secara agregat 1-0 hasil kejayaan di tempat lawan sebelum ini.
Sementara itu, di Stadium Nasional Hassanal Bolkiah, tuan rumah Brunei gagal memanfaatkan peluang beraksi di laman sendiri apabila tunduk 2-3 kepada Terengganu FC pada aksi pertama pusingan 16.
Terdahulu perlawanan berkenaan yang sepatutnya berlangsung pada 1 Sept itu ditunda berikutan keadaan jerebu yang semakin serius.
Pada aksi berkenaan DPMM FC terlebih dahulu membuka tirai jaringan pada minit ketujuh menerusi Jordan Murray sebelum pasukan pelawat menyamakan kedudukan menerusi Muhammad Ubaidullah Shamsul pada minit ke-31.
Murray sekali lagi meletakkan tuan rumah di hadapan pada minit ke-34, namun pasukan pelawat berjaya menyamakan kedudukan pada penghujung babak pertama, sekali lagi menerusi Muhammad Ubaidullah untuk kedudukan 2-2.
Bersambung babak kedua, DPMM FC dan Terengganu FC saling bertukar serangan untuk memburu jaringan.
Penyerang Terengganu, Romel Morales menjadi wira apabila menjaringkan gol pada minit ke-85, sekali gus kemenangan berpihak kepada skuad penyu dengan keputusan 3-2.
Selepas ini, kedua-dua pasukan akan bertemu dalam aksi timbal balik yang dijadual berlangsung Rabu depan di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin.
-- BERNAMA