Skip to main content

Sukan

Presiden FAM: Hamidin tidak tolak kemungkinan bertanding

KUALA LUMPUR, 4 Jun -- Presiden Kehormat Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Tan Sri Hamidin Mohd Amin (tengah) bersama Setiausaha Agung Konfederasi Bolasepak Asia (AFC), Datuk Seri Windsor Paul John (kanan) bercakap pada sesi Sidang Akhbar selepas Majlis Kongres Luar Biasa FAM 2026 hari ini._BERNAMA
Presiden Kehormat FAM Tan Sri Hamidin Mohd Amin (tengah) bersama Setiausaha Agung AFC, Datuk Seri Windsor Paul John (kanan) bercakap pada sesi Sidang Akhbar selepas Majlis Kongres Luar Biasa FAM 2026 hari ini. - Foto Bernama

PETALING JAYA: Presiden Kehormat Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Tan Sri Hamidin Mohd Amin tidak menolak kemungkinan bertanding jawatan presiden pada Kongres Tahunan badan induk itu yang dijadual berlangsung September ini.

Hamidin berkata jawatan presiden FAM satu kedudukan yang bukan mudah untuk dipikul memandangkan tanggungjawab besar yang datang bersama usaha mereformasi dan memajukan bola sepak negara.

Beliau berkata reformasi yang dicadangkan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) menerusi pindaan statut FAM memerlukan kepimpinan serta barisan Jawatankuasa Eksekutif (exco) baharu yang mampu meneruskan agenda perubahan tersebut.

“Kalau kita bercakap mengenai jawatan presiden, ia bukan satu jawatan yang mudah. Kita tahu sebelum ini jawatan itu pernah disandang oleh Perdana Menteri dan Sultan.

“Saya pernah berada di situ dan saya tahu dengan keadaan FAM sekarang, untuk melaksanakan reformasi seperti yang dibentangkan AFC hari ini, perkara itu penting untuk presiden dan exco baharu meneruskannya,” katanya pada sidang media selepas Kongres Luar Biasa (EGM) FAM di sini hari ini.

Mengulas sama ada akan menawarkan diri bertanding jawatan itu, Hamidin berkata beliau lebih cenderung untuk melihat terlebih dahulu individu lain yang berminat sebelum membuat sebarang keputusan.

“Pertama, elok kita lihat peluang kepada orang lain dahulu. Mungkin ramai yang berminat, mungkin ramai yang bagus. Kedua, kita tunggu dan lihat selepas ini,” katanya.

Hamidin menerajui FAM dari 2018 hingga 2025 selepas beliau memutuskan tidak mempertahankan jawatannya pada Kongres Pemilihan badan induk itu, Februari tahun lepas.

Kira-kira empat bulan kemudian, Hamidin dilantik sebagai Presiden Kehormat pada Kongres Luar Biasa FAM pada Jun.

Jawatan Presiden FAM turut menjadi perhatian Presiden Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin dan bekas penyerang kebangsaan Mohd Safee Sali yang menawarkan diri untuk bertanding, selain beberapa tokoh korporat yang turut dikaitkan dengan kerusi nombor satu FAM itu.

Terdahulu, AFC membentangkan laporan audit terhadap pentadbiran FAM pada EGM hari ini yang menjadi asas kepada cadangan pindaan statut bagi memperkukuh tadbir urus FAM.

Untuk rekod, semua ahli exco FAM bagi penggal 2025-2029 mengumumkan peletakan jawatan secara beramai-ramai atas dasar kolektif dan sukarela pada Januari lepas

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement