Skip to main content

Sukan

Presiden UEFA boikot final Piala Dunia 2026, bantah keputusan FIFA

61682483879_TBAleksanderCeferin.jpg
Tindakan Ceferin (foto) dikaitkan dengan dakwaan berhubung campur tangan politik serta beberapa keputusan pentadbiran yang dipertikaikan sepanjang kejohanan berkenaan. -Gambar fail
Advertisement

MIAMI: Presiden Kesatuan Persatuan Bola Sepak Eropah (UEFA), Aleksander Ceferin, dilaporkan tidak menghadiri perlawanan akhir Piala Dunia 2026 di antara Argentina dan Sepanyol sebagai tanda bantahan terhadap beberapa keputusan yang dibuat oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

Menurut laporan media, tindakan itu dikaitkan dengan dakwaan berhubung campur tangan politik serta beberapa keputusan pentadbiran yang dipertikaikan sepanjang kejohanan berkenaan.

Ketegangan di antara UEFA dan FIFA dilaporkan memuncak selepas FIFA membatalkan penggantungan automatik satu perlawanan terhadap penyerang Amerika Syarikat (AS), Folarin Balogun, yang sebelum ini menerima kad merah.

Media turut melaporkan keputusan itu dibuat selepas Presiden AS, Donald Trump, meminta Presiden FIFA, Gianni Infantino, meneliti semula hukuman yang dikenakan terhadap pemain berkenaan.

UEFA menegaskan tindakan FIFA tunduk kepada tekanan politik itu sebagai sesuatu yang tidak masuk akal, sekali gus melanggar sempadan integriti keabsahan undang-undang bola sepak.

Hubungan di antara kedua-dua badan induk bola sepak itu turut dikatakan tegang susulan isu sekatan visa terhadap pengadil kelahiran Somalia, Omar Artan.

Sebagai tindak balas, UEFA melantik Artan untuk mengadili perlawanan Piala Super UEFA di antara Paris Saint-Germain (PSG) dan Aston Villa bulan depan.

Ceferin turut mengkritik beberapa perubahan komersial yang diperkenalkan FIFA, termasuk pelaksanaan tempoh rehat tambahan bagi tujuan penyiaran serta cadangan luar untuk menambah jumlah pasukan kepada 64 negara dalam kejohanan Piala Dunia akan datang.

 

Must Watch Video

Advertisement