LONDON: Bintang tenis Rafael Nadal dilantik sebagai ahli lembaga pengarah Real Madrid, lapor PA Media/dpa.
Lembaga pengarah kelab itu bermesyuarat pada Rabu dan bersetuju mengemukakan pelantikan Nadal sebagai ahli baharu lembaga pengarah untuk disahkan pada perhimpunan agung perwakilan ahli kelab.
Nadal memenangi 22 gelaran perseorangan Grand Slam sepanjang kerjaya gemilangnya, termasuk rekod 14 kejuaraan Terbuka Perancis. Beliau bersara daripada sukan tenis pada 2024.
Dalam satu kenyataan, kelab itu menyifatkan Nadal sebagai "antara legenda terhebat dalam sejarah sukan dan antara atlet Sepanyol yang paling dikagumi serta dikenali di seluruh dunia".
Kenyataan itu turut menyebut: "Bagi Real Madrid dan seluruh penyokongnya, adalah satu kebanggaan besar apabila seorang tokoh yang begitu hebat dari segi pencapaian sukan dan keperibadian, serta menjadi contoh dalam arena sukan Sepanyol dan dunia, menyertai lembaga pengarah kami dan menyumbang kepada pembangunan kelab ini pada masa kini dan masa depan menerusi tanggungjawab tersebut."
-- BERNAMA-PA MEDIA/dpa