DA NANG: Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat menyaksikan kejohanan Pickleball World Cup 2026 yang berlangsung, di sini, pada Jumaat.
Ketibaan baginda serta Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil, disambut oleh Pengarah Pasukan Kontinjen Pickleball Malaysia, Ibrahim Gul.
Baginda berkenan meluangkan masa bertemu dan beramah mesra dengan barisan atlet negara yang diketuai oleh juara dunia, Jimmy Liong Kai Long serta pegawai kontinjen.
Keberangkatan baginda mencerminkan sokongan terhadap perkembangan sukan pickleball di Malaysia, khususnya usaha atlet tempatan yang kini bersaing di pentas antarabangsa.
Turut berangkat anakanda-anakanda puteri baginda, Hajah Sharifah Khatreena Nuraniah Jamalullail serta Hajah Sharifah Farah Adriana Jamalullail, diiringi delegasi International Leadership Mobility (ILM) Universiti Malaysia Perlis (UniMAP).
Dalam pada itu, Ibrahim berkata, pasukan negara dalam kejohanan itu membabitkan pemain dari seluruh negara yang menjalani persiapan menerusi kem latihan khusus di Kuala Lumpur sebagai persiapan menghadapi kejohanan itu.
Beliau berkata, sokongan berterusan daripada pihak berkepentingan amat penting bagi memastikan pemain negara mempunyai peluang lebih baik untuk menjalani latihan dan menyertai kejohanan antarabangsa.
"Pada kejohanan kali ini, wakil daripada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) turut hadir untuk melihat sendiri prestasi pasukani. Kami berharap akan ada berita baik mengenai bentuk sokongan yang boleh diberikan kepada pasukan pada masa akan datang," katanya.
Pickleball World Cup 2026 berlangsung dari 30 Ogos hingga 6 Sept dengan hampir 5,000 atlet dari 78 negara dan wilayah, sekali gus menjadikan Da Nang sebagai tumpuan komuniti pickleball antarabangsa.
-- BERNAMA