COPENHAGEN: Cristiano Ronaldo mengumumkan beliau meninggalkan kem skuad Portugal dan berjanji akan menjelaskan alasan sebenar di sebalik keputusannya itu "pada masa yang sesuai."
Pengumuman tersebut dibuat selepas ketua jurulatih Portugal, Jorge Jesus, menafikan berlaku sebarang keretakan hubungan antara beliau dengan kapten skuad kebangsaan itu susulan dakwaan Ronaldo enggan menjalani latihan bersama pasukan.
Ronaldo sebelum ini mendedahkan, beliau pernah mempertimbangkan untuk bersara daripada arena bola sepak antarabangsa selepas Piala Dunia yang lalu, namun memilih untuk terus beraksi bagi memburu pencapaian 1,000 gol sepanjang karier profesionalnya.
Pemain berusia 41 tahun itu disenaraikan dalam skuad 25 pemain Portugal bagi aksi antarabangsa kali ini dan diturunkan dalam perlawanan pembukaan Liga Negara-Negara UEFA menentang Wales.
Bagaimanapun, penyerang Al-Nassr itu tidak diturunkan dalam kemenangan 2-1 Portugal ke atas Norway di Oslo pada Ahad, malah tidak menyertai rakan sepasukannya untuk menghargai sokongan penyokong pelawat selepas tamat perlawanan.
Sebaliknya, bekas bintang Real Madrid dan Manchester United itu terus menuju ke bilik persalinan, sekali gus mencetuskan spekulasi bahawa beliau tidak berpuas hati dengan keputusan jurulatih.
Menjelang perlawanan Portugal menentang Denmark pada Khamis, Jesus menegaskan, tiada sebarang insiden berlaku.
"Tiada apa-apa insiden langsung.
"Mana-mana pemain, termasuk saya ketika masih bermain dahulu, apabila menghabiskan 20 hingga 30 minit memanaskan badan tetapi tidak diturunkan, sudah tentu tidak akan gembira," katanya.
Jesus berkata, beliau telah memaklumkan kepada Ronaldo sebelum perlawanan bahawa pemain itu tidak akan berada dalam kesebelasan utama, namun mungkin dibawa masuk sebagai pemain gantian.
"Selepas itu, saya membuat keputusan untuk tidak menurunkannya. Ia bukan sesuatu yang perlu diperbesarkan," katanya lagi.
Bekas pengendali Benfica itu turut menafikan laporan kononnya Ronaldo enggan berlatih pada Selasa.
Menurutnya, Ronaldo hanya menjalani latihan individu yang memfokuskan aspek mobiliti dan pengukuhan fizikal sebelum kembali menyertai latihan penuh pasukan pada Rabu.
Namun, Ronaldo tidak kelihatan bersama rakan sepasukannya di atas padang menjelang aksi di Denmark, dengan media Portugal menyiarkan rakaman video beliau meninggalkan Stadium Parken bersama dua anggota staf kejurulatihan.
Tidak lama kemudian, Ronaldo tampil membuat pengumuman menerusi Instagram.
"Selepas sidang media pasukan kebangsaan dan selepas berbincang dengan Presiden Persekutuan Bola Sepak Portugal, saya telah membuat keputusan untuk meninggalkan kem latihan pasukan kebangsaan.
"Pada masa yang sesuai, saya akan memberitahu seluruh rakyat Portugal perkara sebenar mengenai sebab yang mendorong saya berbuat demikian," tulisnya.
Beliau turut mengucapkan selamat maju jaya kepada rakan sepasukan bagi menghadapi baki perlawanan yang akan datang.
Dalam pada itu, Goncalo Ramos yang menjaringkan gol kemenangan ketika menentang Norway dijangka sekali lagi menjadi pilihan utama Jesus bagi aksi bertemu Denmark.
"Jika saya perlukannya (Ronaldo), saya akan menurunkannya. Jika saya tidak perlukannya, dia tidak akan bermain," kata Jesus. - Agensi