RIYADH: Cristiano Ronaldo menggesa pihak berkuasa bola sepak Arab Saudi mengambil tindakan tegas terhadap penyokong yang didakwa mengejek pemain Al-Hilal, Ruben Neves, dengan laungan merujuk kepada mendiang Diogo Jota ketika perlawanan Liga Pro Saudi berlangsung pada Sabtu.
Insiden itu berlaku dalam perlawanan antara Al-Taawoun dan Al-Hilal di Buraidah apabila sekumpulan penyokong dilaporkan melaungkan nama “Jota”, yang dipercayai ditujukan kepada Neves.
Jota meninggal dunia dalam kemalangan jalan raya di Zamora, barat laut Sepanyol, pada 3 Julai 2025 bersama adiknya, Andre Silva.
Neves, yang merupakan sahabat rapat mendiang turut menjadi pembawa keranda pada majlis pengebumian Jota.
Rakaman video yang tular di media sosial menunjukkan Neves menyedari laungan tersebut sebelum mengisyaratkan jari ke arah matanya dan kemudian menunjuk ke langit sebagai reaksi.
Ketika ditemui selepas perlawanan, Neves meluahkan rasa kecewa terhadap tindakan berkenaan.
“Saya harap mereka tidak pergi berdoa selepas ini,” katanya.
Ronaldo kemudian tampil mempertahankan rakan senegaranya itu menerusi komen di laman Instagram.
“Liga perlu bertindak dan menghukum tingkah laku penyokong seperti ini.
“Ini bukan lagi bola sepak dan mesti ada hadnya. Individu yang berkelakuan seperti ini tidak sepatutnya dibenarkan memasuki stadium lagi,” tegas Ronaldo.
Al-Hilal mencatat kemenangan besar 6-0 dalam perlawanan tersebut, dengan Neves beraksi selama 75 minit sebelum digantikan.
Dalam satu kenyataan pada Ahad, Al-Hilal mengesahkan pihaknya telah mengemukakan aduan rasmi kepada Persekutuan Bola Sepak Arab Saudi berhubung insiden berkenaan.
Kelab itu menyatakan keyakinan bahawa tindakan sewajarnya akan diambil bagi melindungi integriti sukan dan membendung amalan yang bersifat menghina.
“Pihak syarikat menegaskan penolakan sepenuhnya terhadap sebarang tindakan yang menyasarkan pemain atau ahli keluarga mereka, atau bertujuan menyinggung perasaan secara peribadi,” menurut kenyataan itu.
Sementara itu, Al-Taawoun turut mengeluarkan kenyataan yang mengutuk keras laungan berkenaan.
Menurut kelab tersebut, tingkah laku sedemikian sama sekali tidak boleh diterima dan tidak mencerminkan identiti Al-Taawoun, para penyokongnya mahupun nilai-nilai yang selama ini dikaitkan dengan penyokong kelab itu.
Al-Taawoun turut berjanji akan bekerjasama dengan pihak berkuasa berkaitan untuk memastikan insiden sama tidak berulang serta mengambil tindakan terhadap individu yang bertanggungjawab. - Agensi