ISKANDAR PUTERI: Penyerang Johor Darul Ta'zim (JDT), Bergson da Silva percaya keputusan seri 3-3 menentang gergasi Liga Perdana Inggeris, Chelsea semalam merupakan gambaran jelas karakter pasukan itu menjelang musim 2026-2027.
Bergson, seorang daripada pemain yang berjaya mencetak gol dalam perlawanan mendebarkan itu, berkata JDT tidak pernah gentar untuk menguji kemampuan menentang pasukan lebih besar dan sekali lagi membuktikan mereka mampu mencipta kejutan, sama ada di laman sendiri mahupun di tempat lawan.
“Menang atau kalah, semuanya berkaitan dengan karakter. Kami tidak pernah jemu untuk mengejutkan orang ramai dengan apa yang mampu kami lakukan menentang pasukan besar, sama ada di laman sendiri ataupun di tempat lawan,” katanya selepas perlawanan semalam.
Sementara itu, ketika ditanya mengenai sasaran peribadinya, penyerang berusia 35 tahun itu yang bakal memasuki musim keenam bersama “Harimau Selatan” berkata dia tidak menetapkan sebarang sasaran khusus, sebaliknya memilih untuk menghadapi setiap cabaran yang datang dan terus membantu kelab memburu lebih banyak kejayaan.
“Sejujurnya, saya tidak mempunyai sebarang sasaran khusus kerana setiap langkah yang kita ambil dalam perjalanan ini adalah sesuatu yang baharu. Seperti sebelum perlawanan (semalam), siapa yang menyangka kami mampu seri dalam perlawanan menentang Chelsea…malah kami hampir menang.
“Matlamat kami adalah untuk terus mara dan teruja dengan musim baharu. Tiada sebarang jangkaan, sebaliknya hanya perlu bekerja keras,” katanya.
Dalam pada itu, Bergson mengakui berpuas hati dengan persiapannya kali ini selepas dapat mengikuti keseluruhan program pramusim bersama skuad, berbanding kempen sebelum ini apabila kecederaan mengehadkan penglibatannya.
Pemain asal Brazil itu berkata persiapan yang lancar tanpa gangguan membolehkan dia membina keserasian lebih baik dengan pemain baharu JDT menjelang aksi kompetitif pertama mereka.
“Saya lebih bangga pada musim ini kerana dapat mengikuti semua sesi latihan bersama pasukan. Dengan itu, saya dapat membina sedikit keserasian dengan pemain baharu. Kami mula saling mengenal,” katanya.
-- BERNAMA