Skip to main content

Sukan

Sivasangari juara Piala Grasshopper 2026 selepas bangkit epik di Zurich

SIVASANGARI JUARA PIALA GRASSHOPPER 2026 SELEPAS BANGKIT EPIK DI ZURICH
Kemenangan itu turut mengukuhkan penguasaan Sivasangari ke atas pemain ranking ketujuh dunia itu dengan rekod pertemuan kini tujuh kemenangan daripada lapan pertemuan. - Instagram Sivasangari

KUALA LUMPUR: Pemain skuasy nombor satu negara S. Sivasangari menampilkan semangat juang luar biasa apabila bangkit daripada ambang kekalahan untuk dinobatkan sebagai juara Piala Grasshopper 2026 di Zurich, Switzerland, pada Ahad.

Pemain kelahiran Kedah itu menegaskan dominasi ke atas pemain Jepun, Satomi Watanabe, apabila mencatat kemenangan 3-2 dalam aksi final yang sengit selama 62 minit dengan keputusan 15-13, 5-11, 5-11, 11-7, 11-8.

Advertisement

Walaupun memenangi set pertama, Sivasangari ketinggalan 1-2 selepas Watanabe memenangi set kedua dan ketiga. Namun, beliau bangkit dengan penuh ketahanan mental untuk memenangi dua set terakhir sekali gus merangkul kejuaraan kejohanan kategori Emas itu.

Kemenangan itu turut mengukuhkan penguasaan Sivasangari ke atas pemain ranking ketujuh dunia itu dengan rekod pertemuan kini tujuh kemenangan daripada lapan pertemuan.

Antara kejayaan terdahulu beliau ke atas Watanabe ialah pada siri kedua dan ketiga Sirkit Skuasy Jelajah Malaysia 2016, 2017, Terbuka Malaysia 2017, Terbuka Australia 2019 dan Terbuka Britain 2025.

Satu-satunya kekalahan Sivasangari kepada pemain Jepun itu berlaku di Final Jelajah PSA 2024-2025.

Kejayaan di Zurich itu lebih manis apabila hanya 24 jam sebelum final, beliau mengharungi perlawanan separuh akhir selama 81 minit menentang pemain Mesir, Amina Orfi.

Dalam aksi tersebut, Sivasangari turut mempamerkan semangat juang tinggi untuk menang 11-7, 5-11, 8-11, 11-9, 11-5, sekali gus mencatat kemenangan kedua ke atas Orfi dalam sembilan pertemuan.

-- BERNAMA

Must Watch Video