KUALA LUMPUR: Hasrat skuad hoki lelaki negara untuk mengutip mata pertama di aksi pembukaan kempen Piala Dunia 2026 musnah apabila dibelasah Jerman 1-5 pada saingan peringkat Kumpulan B di Belgium malam tadi.
Keputusan itu sekali gus menambah luka skuad kendalian Brendon Carolan yang gagal membalas dendam ke atas pasukan Jerman selepas turut kecewa dengan keputusan 1-10 pada pertemuan sebelum ini dua tahun lepas.
Perlawanan penuh dramatik di Arena Hoki Belfius menyaksikan skuad negara hanya memperoleh jaringan tunggal menerusi Muhammad Azrai Aizad Abu Kamal yang menyudahkan pukulan sudut penalti pada minit ke-40.
Pasukan Jerman membelasah Speedy Tigers dengan lima jaringan menerusi Jakob Brilla pada minit keempat, Christopher Ruhr (5’), Justus Weigand (8’, 45’) dan Paul-Philipp Kaufmann (53’).
Sementara itu, Carolan mengakui kecewa dengan persembahan yang ditampilkan anak buahnya dan menyifatkan skuad Speedy Tigers tidak beraksi pada kebolehan sebenar mereka.
Beliau berkata demikian menerusi video yang dikongsi oleh Konfederasi Hoki Malaysia.
Speedy Tigers dijadual bertemu Perancis Isnin depan sebelum melengkapkan aksi kumpulan B bertemu tuan rumah pada Khamis.
-- BERNAMA