NAGOYA: Kecewa, tetapi jauh sekali mahu mengalah.
Itu tekad jaguh lempar cakera negara Muhammad Irfan Shamsuddin selepas gagal mempamerkan prestasi terbaik pada Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 hari ini, sekali gus terlepas peluang menghadiahkan pingat buat kontinjen negara.
Atlet berusia 31 tahun itu mengakui keputusan berkenaan sukar diterima selepas melalui persiapan lancar dan berada pada tahap terbaik menjelang pertandingan.
Namun, segala-galanya tidak menjadi seperti dirancang ketika beraksi apabila cakera yang dilempar gagal mencapai jarak diharapkan, biarpun beliau merasakan aspek teknikal serta posisi badannya berada dalam keadaan baik.
“Saya dah cuba sehabis baik dan apa yang saya rasa ketika pertandingan, semuanya okey. Saya tak tahu kenapa bila saya push, lemparan itu tidak pergi seperti diharapkan.
“Saya tak mahu jadikan perkara itu sebagai alasan untuk diri sendiri, tetapi saya sudah cuba dan saya sudah berjuang,” katanya selepas pertandingan semalam.
Muhammad Irfan turut memahami kekecewaan peminat sukan tanah air yang menaruh harapan kepadanya untuk menyumbang pingat, namun menerima keputusan itu sebagai sebahagian daripada lumrah perjalanan seorang atlet.
“Saya minta maaf kepada semua rakyat Malaysia. Dalam sukan, tiada apa yang pasti. Kami sudah cuba sehabis baik tetapi ketika pertandingan, ia tidak menjadi.
“Ini proses dan perjalanan seorang ahli sukan. Ada naik dan turun. Saya tahu rakyat Malaysia dan peminat sukan mengharapkan pingat pertama daripada saya, jadi saya perlu reset dan buat semula,” katanya.
Terdahulu, Muhammad Irfan menamatkan saingan dengan catatan 56.37 meter (m), sekali gus gagal menempatkan diri dalam kelompok lapan terbaik untuk meneruskan cabaran dalam perebutan pingat.
Pemegang rekod kebangsaan itu berkata pengalaman pada temasya kali ini akan dijadikan ruang untuk menilai semula prestasinya sebelum kembali memberi tumpuan kepada cabaran tahun depan, termasuk Sukan SEA dan Kejohanan Asia.
Selepas mengharungi empat edisi Sukan Asia sejak Incheon 2014, Muhammad Irfan berkata faktor usia belum menjadi penghalang apabila merasakan tahap kekuatan dan kecergasan fizikalnya semakin baik.
Bagaimanapun, beliau mengakui tempoh pemulihan kini mengambil masa lebih panjang berbanding ketika usia lebih muda.
Pingat emas menjadi milik wakil China Abuduaini Tuergong dengan catatan 64.26m, manakala rakan senegaranya Wu Nanjun meraih perak dengan 61.58m.
Atlet Iran Sadegh Samimishalamzari pula membawa pulang gangsa selepas mencatat 60.32m.
-- BERNAMA