Skip to main content

Sukan

Sukan Asia: Kecederaan tak halang Sharul Aimy beraksi di Jepun

81708162908_SharulAimy.jpg
Sharul Aimy mengakui kecewa selepas mengetahui tahap sebenar kecederaannya sebaik pulang daripada Sukan Komanwel Glasgow 2026 awal bulan ini. - Gambar fail
Advertisement

KUALA LUMPUR: Kecederaan lutut yang belum pulih sepenuhnya tidak mematahkan tekad gimnas artistik negara Muhammad Sharul Aimy Kamaru Hisam untuk beraksi pada Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 dari 19 Sept hingga 4 Okt ini.

Muhammad Sharul yang lebih dikenali sebagai Sharul Aimy mengakui kecewa selepas mengetahui tahap sebenar kecederaannya sebaik pulang daripada Sukan Komanwel Glasgow 2026 awal bulan ini, namun tetap mahu berjuang di Jepun kerana menyedari peluang beraksi pada Sukan Asia hanya hadir empat tahun sekali.

“Sekarang saya akan beri segalanya yang saya ada,” katanya kepada pemberita pada sesi Lawatan Ketua Kontinjen (CDM) dan Timbalan Ketua Kontinjen (DCDM) ke Venue Latihan Sukan Gimnastik Artistik dan Gimrama serta Karate bagi Persiapan ke Sukan Asia 2026 di Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil, hari ini.

Gimnas berusia 24 tahun itu berkata beliau kini menjalani rawatan suntikan plasma kaya platelet (PRP) sebagai usaha untuk kembali cergas sebelum berlepas ke Jepun.

“Sejak balik daripada Sukan Komanwel saya memang mula dari kosong sebab saya baru dapat tahu yang saya ada kecederaan koyak meniskus. Jadi itu memang broken bila dengar kecederaan saya masih ada.

“Sekarang saya dah jalani PRP dan saya harap sebelum berlepas ke Sukan Asia saya dapat kembali cergas dan dapat buat yang terbaik,” kata pemenang pingat gangsa acara melombol lelaki Sukan Asia Hangzhou 2022 itu.

Beliau turut berkata kemungkinan menjalani pembedahan buat kali kelima akan dipertimbangkan sekiranya masih gagal mencapai tahap kecergasan terbaik selepas Sukan Asia.

Situasi itu turut memaksa Sharul Aimy menilai semula sasaran pingatnya di Aichi-Nagoya, dengan mara ke final kini dianggap pencapaian memadai berdasarkan keadaan semasanya.

Ketika ini, pemenang pingat emas Sukan SEA 2025 itu belum menjalani latihan berat dan hanya memberi tumpuan kepada latihan kecergasan serta asas sepanjang proses pemulihan.

– BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement