Skip to main content

Sukan

SummerSlam 2026: Kevin Owens kembali, Brock ‘pass the torch’ kepada Oba Femi

WWE SummerSlam. credit youtube
Kevin Owens melakukan kepulangan sensasi selepas 17 bulan tidak beraksi, manakala Brock Lesnar secara simbolik menyerahkan obor kepada Oba Femi dalam dua detik terbesar yang mewarnai WWE SummerSlam 2026.
Advertisement

KEVIN Owens melakukan kepulangan sensasi selepas 17 bulan tidak beraksi, manakala Brock Lesnar secara simbolik menyerahkan obor kepada Oba Femi dalam dua detik terbesar yang mewarnai WWE SummerSlam 2026.

Acara dua malam yang berlangsung di Stadium U.S. Bank, Minneapolis pada 1 dan 2 Ogos (2 dan 3 Ogos waktu Malaysia) itu turut menyaksikan CM Punk mempertahankan Kejuaraan WWE Undisputed, sementara Roman Reigns menamatkan satu lagi babak perseteruan panjangnya dengan Seth Rollins.

Kembalinya Owens dalam gelanggang menjadi kejutan pembukaan malam kedua apabila pengurus besar SmackDown, Nick Aldis mengubah perlawanan penentu pencabar utama antara Sami Zayn dan Finn Balor kepada aksi empat penjuru (fatal four-way match).

Selepas Gunther diumumkan sebagai peserta ketiga, muzik kemasukan Owens bergema sebelum bekas juara dunia itu muncul dan menyertai perlawanan berkenaan, disusuli dengan sorakan gemuruh peminat di stadium.

Ia merupakan perlawanan pertama Owens dalam tempoh 17 bulan selepas menjalani pembedahan akibat kecederaan serius pada bahagian lehernya.

Owens muncul sebagai pemenang selepas memberikan gerakan Stunner kepada sahabat serta seteru lamanya, Zayn, seterusnya menamatkan perlawanan dengan pinfall.

Kemenangan itu sekali gus membolehkan Owens muncul pencabar utama bagi Kejuaraan WWE Undisputed yang kini dipegang oleh CM Punk.

Bagaimanapun, detik paling signifikan SummerSlam kali ini hadir pada penghujung malam pertama apabila Oba Femi menewaskan Lesnar dalam perlawanan Hell in a Cell.

Pertembungan itu merupakan perlawanan ketiga antara kedua-duanya selepas Femi menewaskan Lesnar di WrestleMania 42, sebelum 'The Beast' membalas kekalahan tersebut pada acara Clash in Italy.

Beraksi di negeri kelahirannya, Minnesota, Lesnar menggunakan segala gerakan ikoniknya, iaitu F5 termasuk tiga German Suplex, hentaman tangga besi serta gerakan Tombstone Piledriver ke atas lantai kayu. Namun, Femi membalas dengan gerakan Fall From Grace untuk meraih kemenangan.

Lebih bermakna, Lesnar kembali ke gelanggang selepas perlawanan, memeluk Femi dan mengangkat tangannya sebelum mengisytiharkan bintang kelahiran Nigeria itu sebagai 'masa depan', manakala menggelar dirinya sebagai 'masa lalu'.

Ia menjadi detik simbolik ‘passing the torch’ daripada seorang jaguh yang pernah mendominasi WWE selama lebih dua dekad kepada Femi, yang kini dilihat sebagai antara calon utama untuk menjadi wajah baharu syarikat itu.

Dalam perebutan Kejuaraan WWE Undisputed, Punk berjaya mempertahankan gelaran selepas menewaskan Cody Rhodes dalam pertarungan sengit.

Ketika pengadil tidak sedarkan diri, Randy Orton membuat kemunculan mengejut dan memberikan RKO kepada Rhodes. Punk yang tidak menyedari campur tangan tersebut kemudiannya melaksanakan GTS untuk memperoleh kemenangan.

Sementara itu, perlawanan utama malam kedua menyaksikan Roman Reigns mempertahankan Kejuaraan Heavyweight Dunia selepas mengatasi seteru lamanya, Seth Rollins.

Aksi dua bekas anggota The Shield itu berlangsung sengit sehingga kedua-duanya saling menghidupkan kembali beberapa gerakan terkenal kumpulan berkenaan, termasuk Wacky Line dan Dirty Deeds.

Reigns turut memilih untuk membuang kerusi besi yang boleh digunakannya terhadap Rollins, sekali gus menolak untuk mengulangi pengkhianatan yang pernah memecahkan kumpulan trio berkenaan lebih sedekad lalu.

Selepas terselamat daripada beberapa gerakan Stomp, Reigns melaksanakan tiga Spear berturut-turut untuk mencatat kemenangan sebelum kedua-duanya melakukan simbol tangan The Shield sebagai tanda penghormatan.

Dalam aksi lain, Liv Morgan mempertahankan Kejuaraan Dunia Wanita selepas menewaskan pemenang Queen of the Ring, Iyo Sky. Gangguan Roxanne Perez dan Raquel Rodriguez membantu Morgan sebelum juara itu menamatkan cabaran Sky dengan Oblivion.

Gunther pula menewaskan Nick Aldis menerusi submission dalam perlawanan pertama Aldis sebagai ahli gusti WWE.

Walaupun tewas, pengurus besar SmackDown itu menerima tepukan gemuruh sebelum diraikan bersama isterinya, Mickie James dan anak mereka.

Fatal Influence menewaskan Paige dan The Bella Twins dalam aksi 'Six-Woman Tag Team Match' selepas Jacy Jayne menyempurnakan Rolling Encore terhadap Paige. Selepas perlawanan, Nikki dan Brie Bella mengejutkan peminat dengan menyerang rakan sepasukan mereka sendiri, Paige.

LA Knight, Solo Sikoa dan Royce Keys pula menewaskan The Usos serta Jacob Fatu. Sikoa menghalang Jimmy Uso dengan Samoan Spike sebelum Knight menyudahkan Jey Uso menerusi BFT.

Pada malam kedua, Baron Corbin merampas Kejuaraan Amerika Syarikat daripada Trick Williams selepas berlaku kekecohan melibatkan penyanyi rap Lil Yachty. Corbin menggunakan tali pinggang kejuaraan sebagai senjata sebelum melaksanakan End of Days.

Chelsea Green mencipta sejarah apabila memenangi Kejuaraan Interim Wanita WWE dalam perlawanan tangga melibatkan Charlotte Flair, Jade Cargill, Tiffany Stratton dan Lash Legend. Green yang tergantung secara terbalik pada tangga berjaya bangkit dan mencapai tali pinggang untuk meraih gelaran dunia pertamanya.

Chad Gable turut meraih gelaran perseorangan pertamanya selepas memaksa Penta menyerah kalah menerusi Ankle Lock untuk menjadi Juara Intercontinental yang baharu.

Danhausen pula menewaskan Dominik Mysterio dalam perlawanan 'Human Monies on a Pole' yang turut menyaksikan kemunculan Joe Hendry, JD McDonagh dan kumpulan Minihausens.

SummerSlam 2026 akhirnya bukan sahaja menyajikan beberapa pertukaran gelaran, malah memberi gambaran jelas mengenai hala tuju WWE selepas ini.

Owens kini kembali memburu takhta tertinggi, manakala pengiktirafan Lesnar terhadap Femi mungkin menjadi petanda bahawa era baharu The Ruler baru sahaja bermula.
 

Must Watch Video

Advertisement