SEPANG: Kerajaan sedang memperhalusi pelaksanaan Tiket Madani bagi Formula 1 (F1) Bahrain Grand Prix 2026 di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) pada Oktober ini.
Menteri Belia dan Sukan (KBS) Mohammed Taufiq Johari berkata, langkah tersebut diambil bagi memberi peluang lebih ramai rakyat menyaksikan perlumbaan berprestij itu pada Oktober ini.
Menurutnya, keputusan muktamad mengenainya belum dibuat kerana harga tiket serta kuota yang akan diperuntukkan kepada Malaysia masih tertakluk kepada rundingan dengan Bahrain selaku pemegang hak penganjuran.
“Ia melibatkan penentuan harga tiket, jumlah tiket yang akan dikeluarkan, termasuk peratusan kuota Tiket MyKad yang ingin kita peroleh dan sebagainya,” katanya ketika ditemui pemberita semasa lawatan di SIC hari ini.
Beliau berkata, antara cadangan yang sedang diperhalusi ialah menyediakan kawasan tontonan berkonsepkan piknik bagi mewujudkan suasana santai dan mesra keluarga sepanjang penganjuran Formula 1 itu.
"Walaupun ada Tiket Madani mungkin kita akan buka stailnya itu stail piknik... kita hendakkan suasana piknik, suasana keluarga itu dapat dijalin sewaktu penganjuran F1 ini," katanya.
Dalam masa sama, beliau berkata kementerian turut merancang membuka pengambilan sukarelawan yang disasarkan kepada golongan belia dan pelajar institusi pengajian tinggi, dengan anggaran penyertaan tidak kurang daripada 1,000 orang.
“Saya berharap walaupun rakyat mungkin tidak berpeluang mendapatkan tiket kerana habis dijual, mereka masih dapat merasai sendiri kemeriahan Formula 1 dengan menyertai program sukarelawan,” katanya lagi.
Beliau berkata, sukarelawan yang terpilih akan menerima elaun pada kadar yang munasabah dan berpatutan bagi membantu menampung kos pengangkutan, makan dan minum, selaras dengan konsep kesukarelawanan.
Katanya, maklumat lanjut mengenai pengambilan sukarelawan termasuk kriteria penyertaan, manfaat yang akan diterima serta tarikh pelancarannya akan diumumkan dalam satu sidang media khas.