Skip to main content

Sukan

UFC 328: Chimaev buru untuk kekal kebal, Strickland sedia cipta kejutan sekali lagi

UFC 328, Khamzat Chimaev, Sean Strickland
Juara middleweight UFC, Khamzat Chimaev bakal mempertaruhkan gelaran dan rekod tanpa kalahnya apabila berdepan bekas juara, Sean Strickland dalam aksi utama UFC 328, Ahad ini. - Foto Instagram/@UFC

JUARA middleweight UFC, Khamzat Chimaev bakal mempertaruhkan gelaran dan rekod tanpa kalahnya apabila berdepan bekas juara, Sean Strickland dalam aksi utama UFC 328 di Prudential Center, Newark, Ahad ini waktu Malaysia.

Pertembungan yang dianggap antara pertarungan paling dinanti-nantikan tahun ini menyaksikan dua gaya berbeza bakal bertembung iaitu dominasi teknik kuncian milik Chimaev, menentang kekerapan serangan dan permainan stand-up Strickland.

Chimaev, 31, hadir dengan rekod sempurna 15 kemenangan tanpa kalah termasuk enam kemenangan KO (knockout) dan enam kemenangan menerusi kuncian. Petarung kelahiran Chechnya yang kini mewakili Emiriah Arab Bersatu (UAE) itu terkenal dengan gaya agresif dan tekanan berterusan sehingga digelar “Borz” atau serigala.

Lebih menggerunkan, purata tempoh perlawanannya hanya 8 minit 11 saat dengan beberapa kemenangan pantas termasuk kemenangan KO ke atas Rhys McKee dalam masa 17 saat dan kemenangan menerusi kuncian terhadap Li Jingliang.

Statistik UFC turut menunjukkan kelebihan besar Chimaev dalam aspek pertarungan bawah dan kawalan di atas kanvas selain ketepatan serangan mencecah 60 peratus.

Kemenangan menerusi kuncian ke atas Robert Whittaker di UFC 308 pada Oktober 2024 terus mengukuhkan statusnya sebagai antara petarung middleweight paling dominan ketika ini. 

Sungguhpun begitu, Strickland bukan lawan yang mudah digugat. Bekas juara middleweight UFC berusia 35 tahun itu memiliki rekod 30 kemenangan dan tujuh kekalahan selain terkenal dengan gaya serangan tanpa henti serta kemampuan menyerap tekanan lawan sepanjang lima pusingan.

Petarung Amerika Syarikat itu pernah mencipta kejutan besar apabila menewaskan Israel Adesanya menerusi kemenangan sebulat suara (unanimous decision) di UFC 293 untuk merampas gelaran middleweight.

Strickland juga memiliki purata serangan lebih tinggi dengan 6.04 pukulan signifikan seminit berbanding 4.04 milik Chimaev selain dikenali dengan stamina dan disiplin pertahanan yang sukar ditembusi.

Walaupun dianggap pencabar bukan pilihan, Strickland mempunyai reputasi sebagai petarung yang mampu memaksa lawan ke pertarungan jarak jauh dan mengganggu rentak lawan menerusi tekanan berterusan.

Majoriti penganalisis bagaimanapun meletakkan Chimaev sebagai pilihan utama untuk mempertahankan gelaran dengan ramalan peluang kemenangan sekitar 84 hingga 86 peratus.

Ramai menjangkakan Chimaev akan cuba menjatuhkan lawan lebih awal sebelum mencari kemenangan menerusi kuncian atau KO, manakala peluang terbaik Strickland dilihat terletak pada kemampuannya memanjangkan pertarungan sehingga keputusan mata.

UFC 328 dijadual berlangsung Ahad ini waktu Malaysia, dengan aksi prelims bermula sekitar jam 7 pagi sebelum kad utama membuka tirai pada jam 9 pagi. 

Must Watch Video