Skip to main content

Sukan

UFC 328: Strickland cipta kejutan, tewaskan Chimaev untuk rampas semula takhta middleweight

May 9, 2026; Newark, New Jersey, UNITED STATES; Khamzat Chimaev (red gloves) fights Sean Strickland (blue gloves) during UFC 328 at Prudential Center. Mandatory Credit: John Jones-Imagn Images
Gelaran kembali bertukar tangan apabila Sean Strickland mencipta kejutan dengan menewaskan Khamzat Chimaev menerusi keputusan 'split decision' untuk merampas semula kejuaraan middleweight di acara utama UFC 328 pada Ahad. - Foto REUTERS/John Jones-Imagn Images

GELARAN kembali bertukar tangan apabila Sean Strickland mencipta kejutan dengan menewaskan Khamzat Chimaev menerusi keputusan 'split decision' untuk merampas semula kejuaraan middleweight di acara utama UFC 328 pada Ahad.

Dalam pertarungan tersebut, Chimaev memulakan aksi dengan agresif apabila berjaya mendapatkan 'takedown' seawal pusingan pertama sebelum menguasai permainan hampir sepanjang pusingan pertama, diikuti dengan percubaan rear-naked choke.

Bagaimanapun, Strickland berjaya mempertahankan diri daripada kuncian tersebut dan terus bertahan meskipun diasak hebat oleh lawannya itu.

Memasuki pusingan kedua, Strickland mula menemui rentaknya menerusi kombinasi tinju selain berjaya menggagalkan percubaan takedown Chimaev sebelum mengambil alih posisi atas badan.

Momentum itu diteruskan pada pusingan ketiga apabila Strickland lebih banyak melancarkan serangan walaupun Chimaev sempat menyebabkan hidung lawannya berdarah.

Chimaev kembali agresif pada pusingan keempat dengan beberapa tumbukan dan serangan ke badan Strickland, sebelum berjaya mendapatkan satu lagi takedown pada akhir pusingan tersebut.

Pusingan kelima menyaksikan kedua-dua petarung terus berbalas serangan dengan Chimaev sekali lagi cuba menguasai pertarungan di lantai Octagon, namun Strickland berjaya bangkit dan menggunakan kemahiran tumbukan 'jab' sebelum pengadil Herb Dean menamatkan pertarungan.

Selepas lima pusingan, keputusan akhirnya memihak kepada Strickland menerusi mata 48-47, 47-48, 48-47, sekali gus menyaksikannya kembali bergelar juara middleweight UFC buat kali kedua dalam karier.

Walaupun Chimaev berjaya melakukan sembilan daripada 13 percubaan takedown, dia hanya mencatatkan 6 minit 4 saat kawalan di 'ground', berbanding jumlah 'strikes' yang dilancarkan oleh Strickland, yang mana dilihat oleh juri sebagai kelebihan mata kepada juara baharu itu.

Menariknya, selepas perang psikologi panas antara kedua-dua mereka, Chimaev dilihat menyarungkan tali pinggang kejuaraan kepada Strickland sebaik keputusan diumumkan sebagai tanda menamatkan 'permusuhan' mereka.

Ketika ditemu bual oleh Joe Rogan selepas perlawanan, Strickland, 35,  turut memohon maaf kepada semua termasuk peminat, atas keterlanjuran kata-katanya.

Sebagai rekod, ini merupakan kejuaraan middleweight UFC yang kedua bagi Strickland, yang berasal dari Amerika Syarikat, selepas kali pertama memegang gelaran tersebut dari September 2023 hingga Januari 2024 selepas mengejutkan Israel Adesanya.

Selain itu, pertarungan ini juga merupakan kekalahan yang pertama dalam karier MMA Chimaev dengan rekod bersihnya yang sebelum ini 15-0, kini tercalar menjadi 15-1.

Petarung dari Emiriah Arab Bersatu (UAE) berusia 32 tahun itu sebelum ini menjuarai divisyen middleweight selepas menewaskan Dricus Du Plessis di UFC 319 pada Ogos 2025.

Bagi Strickland pula, dia kini melebarkan rekod profesional kepada 31-7 (31 kemenangan dan tujuh kekalahan).
 

Must Watch Video