SELEPAS berjaya mencipta rekod 17 kemenangan berturut-turut, juara welterweight UFC, Islam Makhachev mendedahkan hasrat untuk kembali ke gelanggang Octagon sebelum Ramadan tahun depan.
Dalam temu bual selepas pertarungannya di UFC 330 pada Ahad, jaguh kelahiran Dagestan, Rusia itu berkata dia menyasarkan untuk kembali seawal hujung tahun ini atau Januari depan, sebelum bermulanya bulan suci itu.
"Kita perlu bertarung sebelum Ramadan, 100 peratus. Sudah tentu Januari, atau sebelum hujung tahun ini, saya perlu bertarung.
"Saya bukan lagi dalam lingkungan usia 20-an. Saya sudah 34 tahun dan perlu bertarung secepat mungkin kerana saya tidak perlu menurunkan terlalu banyak berat badan.
"Saya juga tidak mengalami sebarang kecederaan serius. Mungkin saya hanya perlu memeriksa semula hidung saya, itu sahaja," katanya ketika ditanya mengenai tempoh yang diperlukan sebelum kembali mempertahankan kejuaraannya.
Ramadan 2027 dijangka bermula pada awal Februari, dengan hari pertama umat Islam berpuasa pada 8 Februari 2027, namun tarikh sebenar tertakluk kepada penampakan hilal atau anak bulan.
Makhachev mencipta sejarah pada acara utama UFC 330 apabila menewaskan Ian Machado Garry menerusi keputusan sebulat suara (unanimous decision) selepas lima pusingan untuk mempertahankan gelaran welterweightnya buat kali pertama.
Kemenangan berkenaan merupakan yang ke-17 berturut-turut buat Makhachev dalam UFC, sekali gus memecahkan rekod 16 kemenangan berturut-turut yang sebelum ini dipegang legenda Brazil, Anderson Silva.
Makhachev sendiri tidak menyembunyikan kegembiraannya selepas akhirnya memiliki rekod tersebut secara bersendirian.
"Saya gembira. Ia pertarungan yang sukar, pertarungan yang bagus dan lawan yang bagus.
"Sekarang bukan lagi rekod Anderson Silva. Ia rekod Islam Makhachev. Saya sukakannya," katanya.
Kemenangan itu turut meningkatkan rekod profesional Makhachev kepada 29 kemenangan dan hanya satu kekalahan, selain meneruskan kedudukannya sebagai petarung nombor satu dalam ranking pound-for-pound UFC.
Bekas juara lightweight itu kini mencatat tujuh kemenangan dalam pertarungan kejuaraan UFC merentasi dua divisyen, selepas terlebih dahulu menguasai kategori 155 paun sebelum menewaskan Jack Della Maddalena untuk merangkul kejuaraan welterweight pada November lalu.
Makhachev sebelum ini merangkul gelaran lightweight selepas menewaskan Charles Oliveira, sebelum mempertahankannya sebanyak empat kali menerusi kemenangan ke atas Alexander Volkanovski sebanyak dua kali, Dustin Poirier dan Renato Moicano.
Dia kemudian mengosongkan gelaran lightweight untuk naik ke kategori welterweight dan menewaskan Della Maddalena, sekali gus muncul antara kelompok elit petarung yang pernah bergelar juara UFC dalam dua divisyen.
Dengan rekod kemenangan berturut-turut itu masih aktif, pertarungan seterusnya memberi peluang kepada Makhachev untuk terus melebarkan rekod berkenaan kepada 18 kemenangan.
Antara nama yang berada dalam kelompok teratas divisyen welterweight ketika ini ialah Carlos Prates dan Michael Morales, namun UFC masih belum mengumumkan pencabar seterusnya buat Makhachev.
Kemenangan ke atas Garry juga membawa satu lagi makna buat Makhachev apabila ia merupakan kemenangan ke-100 secara keseluruhan yang dikumpulkan bersama Khabib Nurmagomedov, Usman Nurmagomedov dan Umar Nurmagomedov.
Makhachev berkata pencapaian itu membuktikan legasi jurulatih dan mentor mereka, Allahyarham Abdulmanap Nurmagomedov, yang juga bapa Khabib, terus berkembang menerusi generasi baharu petarung yang muncul daripada kem mereka.