Skip to main content

Sukan

WrestleMania 42: Roman Reigns juara heavyweight WWE, Brock Lesnar beri isyarat bersara

Sumber: WWE
Hari kedua WrestleMania 42 di Allegiant Stadium menyaksikan kemuncak sebenar acara apabila Roman Reigns menewaskan CM Punk dalam perlawanan utama untuk merangkul World Heavyweight Championship.

HARI kedua WrestleMania 42 di Allegiant Stadium, Las Vegas menyaksikan kemuncak sebenar acara apabila Roman Reigns menewaskan CM Punk dalam perlawanan utama untuk merangkul World Heavyweight Championship.

Pertembungan yang berlangsung lebih 30 minit itu dipenuhi elemen dramatik dan fizikal, dengan kedua-dua bintang mempamerkan pengalaman serta karisma masing-masing, dan dikatakan oleh para peminat sebagai 'penyelamat' WrestleMania 42.

Advertisement

Namun di penghujungnya, Reigns membuktikan keunggulannya sebagai “Tribal Chief”, menamatkan cabaran Punk dan sekali lagi mengukuhkan statusnya sebagai figura dominan WWE.

Jika perlawanan utama menjadi kemuncak emosi, pembukaan malam kedua pula menyajikan detik yang mungkin lebih besar maknanya kepada dunia gusti.

'The Beast' Brock Lesnar tewas kepada Oba Femi dalam pertembungan dua 'kuasa fizikal', namun perhatian sebenar hadir selepas loceng penamat.

Lesnar dilihat menanggalkan sarung tangan dan butnya sebelum meninggalkan gelanggang, satu simbolik yang sering dikaitkan dengan pengunduran daripada sukan ini.

Walaupun statusnya masih menjadi tanda tanya, momen itu memberi gambaran bahawa era dominasi Lesnar mungkin telah sampai ke penghujungnya.

Kemenangan Femi ke atas Lesnar bukan sekadar keputusan perlawanan, tetapi dilihat sebagai simbolik ‘passing the torch’, menandakan bermulanya generasi baharu WWE.

Dalam aksi lain, Rhea Ripley mencuri perhatian apabila menewaskan Jade Cargill untuk merangkul WWE Women’s Championship, disambut sorakan padu penonton yang jelas menantikan detik tersebut.

Sementara itu, Finn Balor yang tampil dengan persona Demon menewaskan Dominik Mysterio dalam perlawanan ‘street fight’.

Acara 'ladder match' bagi Intercontinental Championship pula menampilkan aksi berisiko tinggi, dengan Penta berjaya mempertahankan kejuaraannya selepas mengatasi lima pencabar lain dalam perlawanan yang penuh momen dramatik.

Selain itu, sensasi muda yang semakin popular Trick Williams turut mencipta kejutan apabila menewaskan Sami Zayn untuk merampas United States Championship.

Meskipun tiada 'kejutan' kali ini, secara keseluruhan, hari kedua WrestleMania 42 berjaya menutup tirai dengan gabungan aksi berkualiti tinggi dan detik-detik yang bakal diingati.

Ia sekali lagi membuktikan bahawa WrestleMania kekal sebagai pentas di mana sejarah bukan sahaja dicipta, tetapi juga diakhiri.

Must Watch Video