Jihin 'Shadow Cat' Radzuan terus memanjat naik kedudukan atomweight, sekali gus mengekalkan rekod tidak dapat dikalahkan pada ONE: Destiny Of Champions yang berlangsung di Axiata Arena, Kuala Lumpur, Jumaat lalu.

Petinju seni mempertahankan diri yang menjadi kesayangan ramai ini berdepan lawannya, yang merupakan bekas pencabar juara dunia ONE, Jenny 'Lady GoGo' Huang dengan memberikan persembahan yang dominan bagi meraih keputusan kemenangan sebulat suara.

Jihin, 20 tahun, yang berlatih di Ultimate MMA Academy, Johor Bahru, terus memenangi hati peminat dengan keberaniannya di dalam sangkar.

Berikut adalah tiga perkara yang anda perlu tahu mengenai Jihin:

1. Tak suka berlari

Walaupun Jihin gemar berlatih dan menyukai setiap saat latihan yang dilaluinya, namun, satu perkara yang tidak disukai ialah berlari.

"Saya suka melakukan latihan kardio, tapi bila dah selalu sangat, saya mula jemu dan mula menumbuk 'punching bag' dan berlatih seni mempertahankan diri campuran. Saya lebih gemar yang itu,” katanya.

"Bagaimanapun, saya akan melakukan apa saja untuk memastikan saya berada dalam keadaan terbaik (untuk perlawanan) menentang Jenny Huang."

Jihin juga amat sukakan kucing, dan sering membawa kucing-kucingnya ke gim. - Foto Instagram/@jihinr

Jihin kini sedang bersiap sedia menghadapi pertarungan menentang jaguh wanita Singapura, Angela Lee bagi gelaran dunia ONE Wanita Atomweight.

2. Pandai memasak

Sekiranya dia tidak terlalu sibuk dengan latihannya di Akademi Ultimate MMA, Jihin gemar menghabiskan masa di dapur dan menyediakan makanan sihat.

“Tak terlalu mewah - Mungkin pasta, kepingan dada ayam, sayur campur atau beberapa biji telur rebus,” katanya.

Namun jika tidak mempunyai masa, dia hanya memakan makanan yang disediakan di gim sahaja.

Menurut ketua jurulatihnya, Melvin Yeoh, beberapa ahli gim berkenaan juga ada menyediakan makanan sebelum dan selepas senaman bagi memastikan Jihin berada dalam keadaan terbaik.

BACA: MMA: Jihin lakar kemenangan bergaya untuk Malaysia

BACA: Jihin 'Shadowcat', si gadis MMA pencinta kucing

3. 'Musuh'nya ialah durian

Jihin seorang yang peramah, oleh itu dia amat disukai dan disenangi ramai. Tapi, dia ada musuh... dan 'musuh' itu ialah durian.

Dia mengingat kembali peristiwa di mana pernah mencuba untuk memakan durian beberapa tahun lalu di tempat kerjanya, namun, mengalami sakit perut yang berlanjutan selama tujuh hari.

“Saya tahu saya tidak boleh makan durian sejak kecil. Namun beberapa tahun lalu, ada seorang rakan ofis bawa durian ke pejabat dan saya seolah tergoda untuk mencubanya,” kata Jihin.

“Saya hanya ambil sedikit saja. Tapi bila sampai saja di rumah, saya mula muntah-muntah dan sakit perut. Sakit tu berlanjutan hingga seminggu,” kata gadis periang itu.