Seramai 385 pemain mendaftar untuk menyertai Kejohanan Tenis Remaja Antarabangsa Terbuka Pulau Pinang ke-28 selama lima hari mulai 27 Nov.

Pemangku Presiden Persatuan Lawn Tenis Pulau Pinang, Francis Su Kok Eng berkata 130 pemain antarabangsa dari sembilan negara dan 246 pemain tempatan telah mengesahkan penyertaan.

Antara negara yang mengambil bahagian ialah Singapura, Jepun, Afrika Selatan, Korea Selatan, Indonesia, Uzbekistan, Filipina, Hong Kong dan Thailand.

"Kejohanan dibahagi kepada empat kategori, lelaki dan perempuan, berumur antara 10 hingga 16 tahun," kata Kok Eng pada sidang media hari ini.

Beliau yang juga pengarah kejohanan berkata kejohanan merupakan peluang untuk pemain muda dan berbakat memungut mata ranking Persekutuan Tenis Asia (ATF) bagi kumpulan umur yang akan membolehkan mereka diundi dalam sirkit pertandingan ATF yang lain.

"Pertandingan ini juga sebagai langkah permulaan bagi pemain remaja bermain di peringkat tinggi termasuk kejohanan ATF dan ITF (Persekutuan Tenis Antarabangsa)," katanya.

Pertandingan akhir akan diadakan di Universiti Sains Malaysia untuk kategori Bawah 16 dan Bawah 12 Tahun pada 1 Dis sementara Bawah 10 Tahun di Kelab Sukan Pulau Pinang pada 30 Nov.