IPOH: Sebanyak 50 pasukan yang mewakili negeri, termasuk Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan menyertai Kejohanan Ragbi 7 Sepasukan Kebangsaan 2022 yang berlangsung di sini, mulai hari ini, hingga Ahad.

Kejohanan anjuran Kesatuan Ragbi Malaysia (KRM) dengan kerjasama Majlis Sukan Negeri (MSN) Perak dan Kesatuan Ragbi Perak (KRP) akan berlangsung di Stadium Ragbi Perak dan Padang Ragbi 23 RAMD Kem Gua Permai.

Menurut Pengarah Pertandingan Kesatuan Ragbi Malaysia, Fahmy Jalil, sebanyak empat kategori akan dipertandingkan iaitu lelaki terbuka, wanita terbuka, lelaki bawah 21 tahun dan wanita bawah 21 tahun.

“Pertandingan akan dijalankan dalam dua pusingan iaitu pusingan awal bagi peringkat kumpulan dan pusingan kalah mati untuk peringkat suku akhir ke atas,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, kejohanan itu tidak dapat diadakan pada tahun 2020 dan 2021, akibat wabak COVID-19 yang telah melanda seluruh dunia.

Katanya, kali terakhir kejohanan tersebut diadakan adalah pada 2019 di mana pasukan Terengganu muncul juara kategori utama lelaki terbuka merebut Piala Ung Khek Cheow.

“Objektif utama penganjuran kejohanan ini yang juga dikenali dengan National 7s adalah untuk menyediakan landasan untuk pasukan bertanding secara kompetetif di peringkat tertinggi.

"Ia juga membuka ruang kepada pemain–pemain dari seluruh negara yang menyertai kejohanan ini menampilkan aksi terbaik mereka untuk diserapkan ke dalam program elit pasukan remaja dan senior kebangsaan,” ujarnya.

Menurut Fahmy, tahun ini, KRM memperuntukkan bantuan geran sebanyak RM1,000 kepada setiap pasukan bertanding, di samping RM33,000 hadiah wang tunai kejohanan.

Majlis penyampaian hadiah akan disempurnakan Presiden Kesatuan Ragbi Malaysia, Datuk Shahrul Zaman Yahya di Stadium Ragbi Perak pada Ahad.