KUALA LUMPUR: Presiden Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) yang baharu Datuk Ab Ghani Hassan merupakan individu berjiwa bola sepak dan mempunyai minat mendalam terhadap sukan itu, menurut Presiden Persatuan Jurulatih Bola Sepak Malaysia (PJBM) B. Sathianathan.

Sathianathan yang juga bekas ketua jurulatih skuad kebangsaan berkata jika tidak kerana Ab Ghani, 58, mahu memberikan fokus terhadap kerjaya sebagai pegawai bank satu ketika dahulu, dengan bakat yang ada padanya beliau mampu beraksi sehingga mewakili skuad kebangsaan.

Mula mengenali Ab Ghani ketika bersama-sama menyarung jersi skuad Negeri Sembilan pada era lewat 80-an, Sathianathan berkata, pelantikan bekas rakan sepasukannya itu adalah tepat kerana pengalaman luas dimiliki sebagai pemain serta dari sudut pengurusan pasukan.

"Saya menjadi ketua pasukan di Negeri Sembilan pada tahun 1988 dan beliau beraksi bersama saya sebagai pertahanan. Semasa bermain satu pasukan, beliau seorang yang begitu berdisiplin dan sentiasa bekerjasama dalam pasukan.

"Di peringkat pengurusan, biarpun bertindak selaku penolong pengurus pada waktu itu (1993) namun beliau (Ab Ghani) sering kali mendampingi pemain serta seorang yang mudah diajak berbincang," kata Sathianathan, 63, dalam kenyataan MFL hari ini.

Hubungan Sathianathan dan Ab Ghani kemudian memasuki fasa lebih menarik pada tahun 1993, apabila masing-masing memegang jawatan selaku penolong jurulatih dan penolong pengurus bagi pasukan Negeri Sembilan.

Ab Ghani yang mempunyai kualiti tandukan yang baik, bijak membaca permainan serta kemahiran kaki kiri yang baik pada zaman kemuncak kariernya, mula mewakili Negeri Sembilan dalam saingan Liga Dunhill dan Piala Malaysia pada 1982 ketika berusia 19 tahun.

Malah, antara kenangan manis ketika masih bermain beliau pernah membuat penampilan bersama legenda negara Allahyarham Datuk Mokhtar Dahari, dalam skuad Pilihan Negeri Sembilan menentang kelab Belanda FC Groningen yang diwakili bekas pemain bintang Singapura Fandi Ahmad.

Sementara itu, Sathianathan menyifatkan Ab Ghani yang sebelum ini merupakan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MFL seorang yang mudah dibawa berbincang, dan sentiasa mendapatkan pandangan serta nasihat sebelum memutuskan sesuatu keputusan.

"Beliau amat disenangi oleh rakan-rakan kongsi dalam bola sepak serta ada hubungan yang baik dengan semua pihak, yang akan memudahkan lagi beliau dalam usaha meningkatkan mutu dan memperbaiki kelemahan dalam MFL," kata Sathianathan.

MFL pada Isnin lepas mengumumkan pemilihan Ab Ghani sebagai presiden baharu, menggantikan Datuk Hamidin Mohd Amin yang juga Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), yang meletak jawatannya.

Ab Ghani yang dipilih menjadi Ahli Lembaga Pengarah MFL sejak April 2019, adalah individu keempat menyandang jawatan presiden MFL, selepas Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim dan Hamidin.

-- BERNAMA