Skip to main content

Dunia

Konflik Asia Barat: Beijing kritik tindakan AS tembak, rampas kapal kargo Iran

Guo Jiakun Chinese Foreign Ministry Spokesperson
Guo Jiakun (foto) berkata, situasi di Selat Hormuz ketika ini berada dalam keadaan sensitif dan rumit. -Foto fail

BEIJING: China menzahirkan kebimbangan terhadap tindakan Amerika Syarikat (AS) merampas sebuah kapal kargo milik Iran, sambil menggesa semua pihak bertindak secara berhemah bagi mengelakkan peningkatan ketegangan di rantau itu.

Jurucakap Kementerian Luar China, Guo Jiakun berkata, situasi di Selat Hormuz ketika ini berada dalam keadaan sensitif dan rumit.

Advertisement

Beliau menegaskan pihak terlibat perlu mengelakkan sebarang perkembangan yang boleh memburukkan keadaan serta mewujudkan suasana kondusif bagi membolehkan transit normal melalui selat berkenaan disambung semula.

Terdahulu, AS mengesahkan telah melepaskan tembakan dan merampas sebuah kapal kargo Iran yang didakwa cuba mengelak daripada sekatan laut, ketika berada berhampiran pelabuhan-pelabuhan Iran.

Tentera Iran pula mendakwa kapal itu dalam perjalanan dari China dan berikrar akan bertindak balas terhadap apa yang disifatkan sebagai “lanun bersenjata oleh tentera AS”.

Ketegangan terbaharu ini berlaku ketika usaha diplomatik antarabangsa sedang dipertingkat bagi mengekalkan kestabilan di Asia Barat, di tengah kebimbangan terhadap kesannya ke atas keselamatan perkapalan dan perdagangan global.

Must Watch Video