KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan ucapan tahniah kepada pasukan hoki kebangsaan atas kejayaan mereka melakar sejarah, menjulang Piala Sultan Azlan Shah 2022 buat kali pertama, semalam.

Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah turut menzahirkan ucapan tahniah kepada skuad Speedy Tigers itu.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Datuk Seri Ahmad Fadil Shamsuddin berkata Seri Paduka berdua menzahirkan kesyukuran dan rasa sukacita atas kejayaan yang dicapai pasukan itu sekali gus menamatkan penantian 39 tahun bagi Malaysia sebagai tuan rumah untuk muncul juara kejohanan itu.

"Seri Paduka Baginda berdua turut menzahirkan rasa bangga dengan semangat kerja berpasukan dan perjuangan tinggi serta aksi sepenuh jiwa yang telah dipamerkan pasukan di perlawanan akhir edisi ke-29 kejohanan berprestij tersebut menumbangkan juara bertahan, Korea Selatan.

"Seri Paduka Baginda berdua menzahirkan ucapan setinggi-tinggi tahniah dan penghargaan kepada barisan pengurusan Konfederasi Hoki Malaysia di bawah pimpinan Presiden Datuk Seri Subahan Kamal," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Ahmad Fadil berkata Seri Paduka berdua turut menzahirkan setinggi tahniah kepada Pasukan Hoki Kebangsaan yang dikendalikan Pengurus Datuk Mirnawan Nawawi dan Ketua Jurulatih A. Arulselvaraj serta mereka yang menyumbang kepada kejayaan tersebut.

Beliau berkata Seri Paduka berdua turut menzahirkan harapan agar kejayaan berkenaan menjadi suntikan semangat kepada Pasukan Hoki Kebangsaan untuk berlatih dan bekerja lebih keras dalam persediaan menghadapi kejohanan Piala Dunia Konfederasi Hoki Antarabangsa, tahun depan.

"Seri Paduka Baginda berdua turut menzahirkan penghargaan kepada para penyokong yang hadir memberikan sokongan padu kepada Pasukan Hoki Kebangsaan pada perlawanan akhir kejohanan tersebut semalam yang berakhir dengan kemenangan bermakna dan lakaran sejarah buat negara," katanya.

Semalam, skuad hoki kebangsaan melakar sejarah menjulang Piala Sultan Azlan Shah 2022 buat kali pertama apabila menewaskan penyandang juara Korea Selatan 3-2 dalam aksi final di Stadium Hoki Sultan Azlan Shah, Ipoh, Perak.

Kemenangan tersebut menamatkan penantian 39 tahun Speedy Tigers untuk bergelar juara selepas kali terakhir layak ke peringkat akhir pada 2014, namun tumpas kepada Australia 8-3.

-- BERNAMA