PERTAHANAN legenda Johor Darul Ta'zim (JDT), Aidil Zafuan Abd Radzak, kelihatan sudah mengucapkan selamat tinggal kepada karier bola sepaknya selepas diumumkan akan menjadi sebahagian daripada barisan kejurulatihan kelab itu musim depan.

Aidil merupakan saksi langsung kepada proses pembangunan JDT, di mana dia sudah bersama pasukan itu sejak 2013 dan menjadi satu-satunya pemain memenangi 10 gelaran Liga Super berturut-turut bersama kelab berkenaan.

Dia kelihatan beremosi ketika keraian gelaran Liga Super JDT musim ini dan ia kini seakan-akan terjawab selepas JDT dalam laman Facebook, Johor Southern Tigers, sebentar tadi mengumumkan Aidil akan menjadi sebahagian daripada barisan kejurulatihan kelab itu disamping kepulangan Hector Bidoglio.

"Beliau (Bidoglio) akan dibantu oleh Pablo Ricchetti, yang juga penolong jurulatih musim lepas, dan penolong jurulatih baru dari Argentina, selain beberapa jurulatih termasuk kakitangan kecergasan & perubatan yang akan menyertai kelab musim hadapan.

"Aidil Zafuan Abd Radzak juga akan menyertai barisan kejurulatihan Hector," kata kenyataan itu.

*Artikel asal yang disiarkan di Stadium Astro