KUALA LUMPUR: Akademi Kecemerlangan Sukan Dron Negara (AKSADRON) ditugaskan untuk membangunkan Pelan Hala Tuju Strategik Sukan Dron Negara (NADSAR) bagi menetapkan haluan dan pelaksanaan sukan berkelajuan tinggi itu di Malaysia.

AKSADRON yang menyasarkan untuk menjadi hab perlumbaan dron dan aktiviti dron berprestasi tinggi, akan membangunkan inisiatif mengenai rangka kerja pengawalseliaan, menyeragamkan modul latihan sukan dron yang memenuhi keperluan daripada peringkat permulaan sehingga profesional, serta mewujudkan bakat dan pembangunan kerjaya.

Diterajui oleh Futurise Sdn Bhd, sebuah anak syarikat milik penuh Cyberview Sdn Bhd di bawah Kementerian Kewangan, peranan AKSADRON termasuk menganjurkan pertandingan tempatan dan antarabangsa di seluruh negara.

Ketua Pegawai Eksekutif Futurise Rosihan Zain berkata matlamat pelan hala tuju itu adalah untuk mewujudkan ekosistem sukan dron yang mantap di Malaysia, selaras dengan amalan terbaik berpandukan objektif yang dipersetujui bersama menerusi pelbagai penglibatan bagi memastikan pelan pelaksanaan lima tahun yang kukuh.

"NADSAR ialah inisiatif jelas untuk mengemudi perkembangan sukan dron di negara. Sama seperti F1 yang berada di barisan hadapan dalam teknologi automotif, sukan perlumbaan dron akan membolehkan generasi muda mendukung kemahiran memandu dron dan menawarkan penglibatan terus dalam pembangunan DroneTech yang canggih, tetapi dengan kurang halangan untuk menyertai (sukan ini).

"Dengan hanya 30 ke 40 pelumba dron yang berdaftar di Malaysia, Futurise mengakui bahawa sukan dron masih pada peringkat awal dan sentiasa menangani isu dengan pihak berkuasa berkaitan," katanya dalam kenyataan.

Menurut kenyataan itu, Futurise ialah satu-satunya syarikat milik kerajaan yang ditugaskan dengan tanggungjawab untuk melihat halangan pengawalseliaan menerusi garis panduan dan rangka tindakan serta mempercepatkan pertumbuhan industri.

AKSADRON terletak di Tasik Paya Bungor di dalam kawasan Payar Besar di Kuantan, Pahang.

Lokasi itu berkeluasan kira-kira 1.27 hektar dan dikelilingi oleh ruang terbuka yang kondusif untuk penerbangan dron berprestasi tinggi, dan dijangka dibuka kepada orang awam sebelum akhir tahun ini.

-- BERNAMA