PETALING JAYA: Ketua Jurulatih skuad kebangsaan Bawah 23 Tahun (B-23) Brad Maloney amat berpuas hati dengan prestasi anak didiknya menjelang saingan kejuaraan Piala Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) 2022 Bawah 23 Tahun (B-23) di Phnom Penh, Kemboja dari 14 hingga 26 Feb ini.

Ini susulan kejayaan skuad bimbingannya menamatkan beberapa perlawanan persahabatan dengan mengikat juara Piala Malaysia 2021 Kuala Lumpur (KL) City FC 1-1 di Kompleks Sukan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) di sini pada Khamis sebelum berlepas ke Kemboja pada Sabtu depan.

Keputusan itu turut menyaksikan skuad negara berjaya mengekalkan rekod tanpa kalah dalam sesi memanaskan badan selepas keputusan seri 1-1 dalam aksi menentang Sabah FC pada Sabtu lepas.

"Saya rasa pemain telah mempamerkan aksi yang cukup baik, mereka berjaya melakukannya dalam tempoh yang singkat dan kami meminta mereka menjiwai begitu banyak maklumat yang boleh digunakan ketika perlawanan itu serta cuba mengaplikasi apa yang telah kami lakukan dalam latihan, setakat ini semuanya berjalan dengan baik," katanya kepada pemberita selepas aksi menentang KL City FC.

Meskipun berpuas hati, Maloney masih enggan menetapkan sasaran khusus kepada skuad kebangsaan pada saingan itu.

"Seperti yang telah kami nyatakan sebelum ini, perjalanan sepanjang kejohanan ini menghidangkan peluang kepada beberapa pemain muda untuk mendapat pendedahan di peringkat antarabangsa selain memberi pendedahan kepada pemain yang tidak banyak diturunkan untuk beraksi di peringkat ini," katanya.

Pada perlawanan Khamis, gol yang dihasilkan Mohammad Zharmien Ashraf Ismail dari jarak jauh pada minit ke-90 berjaya menyamakan kedudukan dengan KL City FC yang menjaringkan gol pada minit ke-73 menerusi tandukan Giancarlo Gallifuoco.

Maloney turut mengesahkan bahawa beliau akan membawa 28 pemian ke Kemboja.

Skuad kebangsaan itu, yang diundi dalam Kumpulan B, akan memulakan kempen melaui aksi menentang Myanmar di Stadium Prince pada 15 Feb.

Selepas itu, anak buah Maloney akan berdepan Laos pada 18 Feb di venue sama sebelum melengkapkan perlawanan kumpulan dengan menentang Indonesia di Stadium Nasional Morodok Techo pada 21 Feb.

Juara dan naib juara tiga kumpulan dalam saingan itu akan mara ke separuh akhir pada 24 Februari manakala perlawanan akhir ditetapkan pada 26 Feb.

-- BERNAMA