SUKAN
Ancaman bom dilaporkan di arena gimnastik Olimpik Korea Selatan

Polis Korea Selatan menghantar skuad bom untuk mencari peranti letupan yang didakwa dipasang di KSPO Dome atau Arena Gimnastik Olimpik, di daerah Songpa, selepas menerima maklumat. - Gambar hiasan
SEOUL: Satu ancaman bom dilaporkan di sebuah stadium gimnastik Olimpik di timur Seoul, Korea Selatan, pada Ahad, menyebabkan penonton dipindahkan dari lokasi itu, menurut polis.
Tiada bahan letupan ditemukan dan tiada kecederaan dilaporkan, lapor Agensi Berita Yonhap.
Polis Korea Selatan menghantar skuad bom untuk mencari peranti letupan yang didakwa dipasang di KSPO Dome atau Arena Gimnastik Olimpik, di daerah Songpa, selepas menerima faks yang menyatakan yang bom dipasang di stadium itu, menurut pegawai.
Kumpulan K-pop The Boyz dijadualkan mengadakan konsert di lokasi itu pada 4 petang. Agensi kumpulan itu memaklumkan kepada peminat konsert ditangguhkan susulan insiden berkenaan.Ancaman bom serupa turut berlaku dalam beberapa minggu kebelakangan ini, termasuk satu kiriman dalam talian yang mengugut untuk meletupkan cawangan utama Gedung Serbaneka Shinsegae di Myeongdong, pusat bandar Seoul. Kira-kira 4,000 pelanggan dipindahkan segera.
Polis menahan seorang pelajar sekolah menengah di pulau selatan Jeju kerana memuat naik mesej ancaman dan seorang lelaki berusia 20-an di wilayah selatan lain kerana memuat naik ancaman serupa di ruangan komen.
Membuat ancaman untuk mencederakan mana-mana pihak boleh dihukum penjara sehingga lima tahun atau denda sehingga 20 juta won (US$14,400).
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami