DOHA: Presiden Konfederasi Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), Gianni Infantino menempelak peminat bola sepak yang mengkritik Piala Dunia tahun ini akan menjadi bosan tanpa minuman keras atau bir.

"Saya fikir secara peribadi jika selama tiga jam sehari anda tidak minum bir, anda masih boleh meneruskan hidup," katanya dalam sidang akhbar di Doha.

Pada Jumaat, Qatar mengumumkan penjualan bir di sekitar lapan stadium yang digunakan dalam Piala Dunia adalah tidak dibenarkan, hanya 48 jam sebelum sepak mula Ahad ini.

Hal itu mencetuskan kemarahan peminat yang mendakwa Qatar sengaja mengumumkan larangan itu pada saat akhir untuk mengelakkan jualan tiket terjejas.

Tiada alasan diberi mengapa keputusan itu diumumkan pada saat akhir, namun, media melaporkan ia berpunca daripada campur tangan keluarga diraja Qatar.

Puluhan khemah bir sebuah jenama antarabangsa telah pun siap dipasang di pekarangan stadium menjelang perlawanan pertama.

Penjaga gol Wales, Wayne Hennessey berkata, dia berharap larangan tersebut tidak akan menjejaskan kemeriahan kejohanan empat tahun sekali itu, manakala penjaga gol England, Aaron Ramsdale menegaskan tradisi dan budaya Qatar mesti dihormati.

“Saya rasa peminat tetap akan mencari jalan untuk minum bir, tetapi saya harap mereka tidak melakukannya ketika perlawanan berlangsung.

"Kami juga perlu menghormati peraturan, jadi kami akan pastikan penonton terhibur dengan aksi yang kami berikan dari padang bola sepak,” katanya.