MESYUARAT Jawatankuasa Road To Gold (RTG) bulan lalu telah membuat keputusan untuk memasukan atlet angkat berat negara, Aniq Kasdan ke dalam program Road To Gold (RTG) untuk Sukan Olimpik Paris 2024.

Aniq, 21 tahun, kini berada di kedudukan ke-10 dalam ranking Olimpik, menepati kriteria untuk disenaraikan dalam program RTG.

Catatan peribadi terbaik Aniq dalam kategori 61 kilogram adalah angkatan 291 kilogram, hanya kurang tiga kilogram dibelakang pemenang gangsa Olimpik 2020, Igor Son dari Kazakhstan.

Dalam mesyuarat itu juga, jawatankuasa RTG juga bersetuju untuk mengeluarkan beregu campuran badminton, Tan Kian Men-Lai Pei Jing, Goh Soon Huat-Shevon Lai dan pasukan hoki lelaki Malaysia daripada Program RTG.

Prestasi Kian Meng-Pei Hing dalam kelayakan Olimpik telah merosot dan menyaksikan mereka jatuh kepada posisi ke-23 senarai kelayakan Olimpik, manakala Soon Huat-Shevon pula jatuh kepada posisi ke-17.

Jawatankuasa RTG akan menyemak semula kemasukan mereka ke dalam program jika menjadi pasangan beregu terbaik negara dalam kelompok lapan teratas atau layak sebagai pasangan beregu Malaysia dengan kedudukan tertinggi dalam ranking 16 teratas Race To Paris.

Dalam pada itu, pasukan hoki lelaki negara disingkirkan daripada program RTG selepas gagal memenangi pingat emas Sukan Asia 2022 di Hangzhou, China, yang merupakan tiket ke ke Sukan Olimpik Paris 2024

Kegagalan itu juga menyaksikan pasukan hoki lelaki negara tercicir ke ranking ke-12 dunia.

Jawatankuasa RTG bersetuju untuk memasukkan semula pasukan hoki lelaki ke
dalam program sekiranya mereka layak ke Sukan Olimpik Paris pada kelayakan
Olimpik seterusnya iaitu di Muscat, Oman (15-21 Januari 2024) atau di Valencia, Sepanyol (13-21 Januari 2024) tahun depan.

Mesyuarat RTG itu turut membincangkan status atlet yang telah memenangi pingat emas di Sukan Asia 2022.

Bagi pelayar negara, Nur Shazrin binti Mohamad Latif, elaun untuk pingat emas di Sukan Asia akan dinaikkan selain menerima insentif tambahan untuk kelayakannya ke Sukan Olimpik melalui Skim Insentif Sukan Olimpik (SISO).

Nur Shazrin akan terus disokong sepenuhnya oleh Program Podium yang yang menerima penginapan, makanan, perlindungan kos pertandingan, peralatan, pemakanan dan juga perkhidmatan perubatan & sains sukan daripada Majlis Sukan Negara (MSN) dan Institut Sukan Negara (ISN).

Sementara itu, penunggang ekuestrian negara, Qabil Ambak pula memaklumkan tidak akan bertanding di Sukan Olimpik Paris apabila terlepas beberapa acara kelayakan sebelum ini, namun Qabil akan tetap menerima sokongan MSN jika diperlukan.

Sementara itu, atlet karate negara, Muhammad Arif Afifuddin Ab Malik tidak akan dimasukkan dalam program RTG kerana karate tidak disenaraikan sebagai salah satu sukan yang dipertandingkan di Olimpik Paris 2024.

Bagaimanapun, elaun bulanan Arif di bawah Program Podium akan dinaikkan selepas kemenangannya di Sukan Asia 2022 dan akan terus menerima semua latihan, pertandingan dan sokongan sains sukan & perubatan seperti yang disediakan oleh MSN dan ISN setakat ini.

Status atlet yang sudah layak ke Olimpik Paris 2024 turut dibincangkan dalam mesyuarat RTG tersebut.

Penerjun kebangsaan, Bertrand Rhodict Lises akan menerima kenaikan elaun selepas mendapat gangsa di Sukan Asia dan juga layak elaun tambahan SISO.

MSN turut akan bekerjasama dengan pasukan penerjun negara bagi meneliti program khusus untuk Bertrand, memandangkan usianya yang masih muda iaitu 18 tahun dan berpontensi tinggi untuk pergi lebih jauh.

Sementara itu, penembak negara, Jonathan Wong belum dimasukkan dalam program RTG buat masa ini, namun akan menerima elaun SISO tambahan daripada MSN sehingga Sukan Olimpik Paris dan akan terus menerima sokongan penuh daripada MSN dan ISN di bawah Program Podium.

Jawatankuasa RTG turut membincangkan mengenai masa depan skuasy selepas Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) mengumumkan sukan itu akan dipertandingkan di Sukan Olimpik Los Angeles 2028.

Ahli Jawatankuasa RTG dan Timbalan Chef De Mission Sukan Olimpik Paris, Datuk Nicol Ann David diminta untuk membangunkan rancangan kemasukan skuasy ke Los Angeles 2028, untuk meneruskan momentum kejayaan kejayaan negara memenangi tiga pingat emas di Sukan Asia 2022.

Nicol diminta untuk bekerjasama dengan semua pihak berkepentingan yang berkaitan untuk membangunkan pelan strategik dan kolektif untuk kemasukan skuasy ke dalam fokus program RTG Los Angeles.

Mesyuarat RTG dipengerusikan bersama Menteri Belia & Sukan, Hannah Yeoh dan Presiden Majlis Olimpik Malaysia, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria yang turut dihadiri ahli JawantanKuasa RTG, termasuk Chef de Mission Olimpik Paris 2024, Datuk Haji Hamidin Haji Mohd Amin yang menyertai secara dalam talian.

Berikut adalah senarai atlet Road To Gold:

Datuk Azizulhasni Awang - Berbasikal
Muhammad Shah Firdaus bin Sahrom - Berbasikal
Datuk Pandelela Rinong - Akuatik Terjun
Nur Dhabitah Sabri - Akuatik Terjun
Mohamad Aniq Kasdan - Angkat Berat (61kg)
Ng Tze Yong - Badminton
Aaron Chia & Son Wooi Yik - Badminton
Ong Yew Sin & Teo Ee Yi - Badminton
Pearly Tan & M. Thinaah - Badminton
Chen Tang Jie & Toh Ee Wei - Badminton