KUALA LUMPUR: Anugerah Sukan Negara (ASN) 2019/2020 yang dijadualkan berlangsung hari ini ditangguhkan ke satu tarikh baharu, kerana mengambil kira situasi bencana yang sedang melanda negara ketika ini.

Majlis Sukan Negara (MSN) dalam kenyataan pada Isnin memaklumkan tarikh baharu majlis anugerah yang sepatutnya diadakan di sebuah hotel di Subang Jaya itu, akan dimaklumkan kelak.

"Dengan keadaan bencana yang melanda ketika ini, tumpuan seharusnya diberikan kepada mangsa terlibat," menurut kenyataan dikeluarkan MSN itu.

ASN 2019/2020 menyaksikan dua atlet elit, jaguh berbasikal trek Datuk Mohd Azizulhasni Awang dan ratu terjun Datuk Pandelela Rinong antara calon popular yang tersenarai bagi merebut anugerah Olahragawan dan Olahragawati Kebangsaan.

Bagi kategori Olahragawan Kebangsaan, pelumba yang diberi julukan 'The Pocketrocketman' itu menerima saingan daripada atlet bina badan Mohd Syahrul Azman Mahen Abdullah, Khairul Anuar Mohamad (memanah), Timmy Tan (tenpin boling) dan Wong Weng Son (wushu).

Pandelela pula dicabar Tan Cheong Min (wushu), Siti Zalina Ahmad (boling padang), Sin Li Jane (tenpin boling) dan Farah Ann Abdul Hadi (gimnastik) bagi kategori Olahragawati Kebangsaan.

Bagi kategori Olahragawan Paralimpik Kebangsaan, pemanah S. Suresh mengetuai pencalonan diikuti Bonnie Bunyau Gustin (powerlifting), Cheah Liek Hou (badminton), Muhammad Nur Syaiful Zulkafli (renang) dan Chew Wei Lun (boccia).

Bagaimanapun, tiada pencalonan bagi Olahragawati Paralimpik Kebangsaan pada ASN kali ini.

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah turut berkenan berangkat ke majlis berkenaan.

Dalam pada itu, ASN turut menawarkan tujuh anugerah lain iaitu Pasukan Lelaki dan Wanita Kebangsaan, Jurulatih Lelaki dan Wanita Kebangsaan, Anugerah Tokoh Sukan, Anugerah Kepimpinan Sukan dan Anugerah Khas.

-- BERNAMA