Atlet papan selaju Malaysia, Christina Lai Grace terpaksa dikejarkan ke hospital selepas mengalami kecederaan ketika sesi pemanas badan sebelum final acara Park wanita Sukan Asia Jakarta-Palembang 2018 hari ini.

Atlet muda berusia 13 tahun itu mengalami kecederaan di bahagian pinggul sebelum acara itu bermula di SkateBoard Stadium, Jakabaring Sports City di sini.

Christina terjatuh ketika sedang membuat latihan bersama-sama lima lagi peserta aksi final pada pagi ini, dan diberi rawatan awal oleh pegawai perubatan di gelanggang.

Atlet kelahiran Kuala Lumpur itu kemudian diusung keluar dari gelanggang ke bilik perubatan di venue untuk pemeriksaan lanjut, sebelum dibawa ke hospital menaiki ambulans, sekali gus terlepas aksi final.

Timbalan Ketua Kontinjen negara ke Sukan Asia (Palembang), Datuk Dr SS Cheema, yang dilihat sempat memeriksa Christina sebelum pasukan medik membawa atlet itu ke hospital, berkata kecederaan itu tidak begitu serius, tetapi keputusan tepat hanya boleh diperoleh selepas imbasan X-ray dan ujian pengimejan resonans magnetik (MRI).

"Amat malang kerana beliau terjatuh sebelum bermulanya acara (final)... beliau berasa agak sakit terutama di pinggul dan bahagian bawah belakang. Saya ada memeriksanya, tampak tidak teruk, saya minta mereka (pasukan medik) buat X-ray dan MRI.

"Beliau seorang atlet yang bersemangat tinggi, beliau menangis bukan kerana sakit tetapi tidak dapat beraksi pada final. Saya beritahunya yang beliau masih ada masa yang panjang dalam sukan ini, pergi buat pemeriksaan dan kembali semula dan teruskan perjuangan dalam sukan ini dengan gembira.

"Diharapkan beliau akan sembuh, tetapi pastinya tidak dapat menyertai pertandingan ini, membuatkan kami dan rakyat Malaysia berasa hampa," kata Dr Cheema yang merupakan seorang doktor di Kuala Lumpur.

Sementara itu, jurulatih negara, Johari Fitry Khairrudin yang lebih dikenali sebagai Joe Ipoh, berharap Christina akan sembuh secepat mungkin untuk meneruskan penyertaan dalam sukan ekstrem itu.

"Tadi saya pun tak berapa nampak kerana duduk di tempat penonton, masa dia 'fly' itu, mungkin dia terjatuh. Memang kecewa, tetapi harap-harap dia sembuh cepat," katanya.

Sukan papan selaju atau skateboard buat kali pertama dipertandingkan di Sukan Asia pada kali ini dan bakal diperkenalkan pada Sukan Olimpik 2020 di Tokyo, Jepun.

-- BERNAMA