SPORTS
Azizulhasni umum beraksi sebagai pelumba berbasikal trek profesional

MOHD AZIZULHASNI: Saya memilih untuk bergerak sendiri dan secara profesional. -Gambar fail
KUALA LUMPUR: Teka-teki mengenai masa depan jaguh berbasikal trek negara Datuk Mohd Azizulhasni Awang terjawab apabila beliau hari ini mengumumkan untuk meneruskan kariernya sebagai pelumba berbasikal trek namun secara profesional.
Ringkasan AI
- Datuk Mohd Azizulhasni Awang mengumumkan untuk meneruskan kariernya sebagai pelumba berbasikal trek secara profesional, tidak bersama pasukan kebangsaan.
- Keputusan ini dibuat setelah berbincang dengan Majlis Sukan Negara (MSN) dan Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh untuk memastikan peruntukan dapat ditumpukan kepada pelumba lain.
- Mohd Azizulhasni merancang untuk beraksi bagi dua tahun akan datang dan bersedia untuk beraksi bersama skuad kebangsaan jika diperlukan, terutama bagi Sukan Asia dan Sukan Komanwel tahun depan.
"Saya memilih untuk bergerak sendiri dan secara profesional. Ketika duduk dengan MSN dan Institut Sukan Negara (ISN) saya meminta mereka untuk memberi tumpuan penuh peruntukan kepada atlet lain demi kesinambungan sukan kita," katanya pada sidang media yang turut dihadiri Hannah di MSN di sini hari ini.
Dalam pada itu, Mohd Azizulhasni berkata beliau bersedia untuk beraksi bersama skuad kebangsaan sekiranya khidmat beliau masih diperlukan terutamanya bagi temasya Sukan Asia dan Sukan Komanwel tahun depan.
Mohd Azizulhasni berkata setakat ini beliau merancang untuk beraksi bagi dua tahun akan datang dan masih belum memutuskan sama ada mahu beraksi di Sukan Olimpik Los Angeles 2028 atau tidak.
Menurutnya antara sebab beliau membuat keputusan itu adalah untuk 'mengubat luka' gagal membawa pulang pingat emas dari Sukan Olimpik Paris 2024.
"Saya nak sambung untuk dua tahun mendatang dahulu, sebab pengakhiran di Paris tidak manis bagi saya, itu yang mengganggu saya sebagai atlet, saya bangunkan karier saya dengan baik. Kepayahan dan kesusahan saya dapat lalui, tapi pengakhiran begitu kurang manis dan tidak seperti yang saya mahukan.
"Harapnya ada manisnya dan dapat mengucapkan selamat tinggal dengan cara yang baik. Saya rasa tiada spesifik sasaran untuk tahun depan, cuma tahun ini sasaran untuk saya Kejohanan Berbasikal Trek Dunia 2025. Untuk tahun depan saya belum duduk dan merancang secara terperinci," katanya.
Mengulas mengenai pangkalan latihannya selepas ini, atlet kelahiran Dungun, Terengganu itu berkata beliau akan lebih banyak menjalani latihan di Malaysia.
"Saya dapat lebih masa untuk latihan bersama skuad negara dan saya akan manfaatkan masa dua tahun ini sebaiknya," katanya.
Pada Sukan Olimpik Paris 2024, penyertaan Mohd Azizulhasni dibatalkan ketika aksi pusingan pertama acara keirin kerana memotong derny (basikal elektrik bertindak sebagai pacer), sebelum derny meninggalkan trek selain tewas dalam saingan 1/8 dan tersingkir di repechages acara pecut.
Selepas pulang dengan kekecewaan Mohd Azizulhasni memberi bayangan untuk menamatkan kariernya namun tertangguh apabila dipujuk untuk terus mewakili negara.
Beliau kemudian memohon sedikit ruang dan dilaporkan bersedia untuk mengumumkan keputusan mengenai kariernya pada Ramadan lepas namun tidak dapat direalisasikan atas beberapa faktor.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami