Kapten pasukan Kedah, Baddrol Bakhtiar tekad untuk menjaringkan gol pada setiap perlawanan Liga Super bagi musim 2017.

Walaupun bukan mudah, beliau berkata setiap jaringan dari pemain adalah amat penting bagi memastikan pasukan menang seterusnya mengutip tiga mata penuh.

"Jika peluang terhidang saya akan jaringkan gol kerana jaringan yang akan menentukan kemenangan pasukan saya dan seterusnya berada di takhta liga dengan selesa.

"Insya-Allah pada perlawanan Liga Super bertemu Pulau Pinang pada Sabtu ini saya akan menghasilkan sesuatu untuk memastikan Kedah kekal di tangga teratas liga," katanya ketika ditemui sewaktu program ramah mesra dengan pemain Kedah sempena Kejohanan Balapan dan Padang Sekolah Menengah Kebangsaan Jabi, di sini pada Khamis.

Turut hadir beberapa pemain Kedah seperti Mohd Rizal Ghazali, Mohd Ifwat Akmal, Muhammad Farhan Roslan, Muhammad Shafiq Ahmad dan Abdul Halim Saari.

Setakat ini, Baddrol telah berjaya menjaringkan empat gol pada saingan Liga Super iaitu ketika bertemu JDT, Sarawak, Pahang dan Kelantan hingga membantu Kedah berada di kedudukan teratas liga dengan 11 mata.

-- BERNAMA