SPORTS
Badminton: Akibat darah beku di kepala, Goh Soon Huat pernah jalani dua pembedahan

Pemain berusia 34 tahun itu difahamkan pengsan semasa Grand Prix Terbuka Indonesia 2003. - Foto Stadium Astro
PEMAIN beregu campuran profesional negara, Goh Soon Huat, berkongsi kisah silamnya ketika perjalanan awal bergelar atlet badminton negara, suatu ketika dahulu.
Sewaktu beraksi dalam sektor perseorangan lelaki, pemenang Masters Malaysia 2024 itu mendedahkan bahawa dia pernah rebah dalam permainan dan mengalami pendarahan beku di kepala.
Akibat kecederaan tersebut, Soon Huat perlu menjalani pembedahan otak bagi mengeluarkan darah beku itu.
"Saya pernah mengalami sakit kepala semasa bermain dan ia benar-benar memberi kesan kepada saya."Saya pergi ke hospital untuk memeriksanya dan disahkan mempunyai darah beku di kepala.
"Saya menjalani pembedahan kecil dan syukur saya pulih.
"Enam bulan kemudian saya kembali bermain. Saya berlatih secara konsisten selama setahun setengah dan bertambah baik.
"Tetapi malangnya, darah beku itu timbul semula selepas itu dan memerlukan pembedahan kedua," katanya.
Pemain berusia 34 tahun itu difahamkan pengsan semasa Grand Prix Terbuka Indonesia 2003.
Pasangan kepada Shevon Lai Jemie itu menjelaskan dia tidak pasti bagaimana dia berakhir dengan diagnosis itu, tetapi ia mungkin disebabkan semasa kecil.
"Sejujurnya saya tidak ingat dengan jelas. Mungkin ia adalah sesuatu yang saya tidak perasan pada masa itu.
"Doktor memberitahu saya tiada jaminan ia tidak akan kembali.
"Sebab itu saya pergi membuat pemeriksaan setiap tahun. Sekurang-kurangnya saya akan tahu jika ada sesuatu yang tidak kena," tambahnya.
Goh nampaknya telah meletakkan episod duka itu sebagai pemangkin untuk berkembang dengan isterinya dalam beregu campuran, di mana pasangan itu berada di kedudukan lima terbaik dunia. -- Stadium Astro
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami