PUTRAJAYA: Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh menyerahkan kepada Persatuan Badminton Malaysia (BAM) untuk menyelesaikan kemelut yang dihadapi badan sukan itu dengan Datuk Misbun Sidek secara dalaman.

Hannah berkata beliau tidak mengetahui isi kandungan kontrak dan perbincangan yang dipersetujui BAM dan bekas Pengarah Kejurulatihan Perseorangan Remaja Akademi Badminton Malaysia (ABM) itu.

"Ini adalah isu obligasi kontraktual antara BAM dan jurulatih mereka. Saya rasa biar BAM jawab dulu apa-apa isu yang telah diketengahkan oleh Datuk Misbun dan saya percaya mereka dapat mengendalikan kes ini," katanya.

Hannah berkata sekiranya wujud isu melibatkan kontrak antara persatuan sukan kebangsaan dengan atlet, jurulatih atau pentadbir mereka, ia selalunya akan diuruskan oleh Pejabat Pesuruhjaya Sukan (PJS) jika terdapat aduan.

Jumaat lepas, Jawatankuasa Khas BAM diketuai Timbalan Presidennya Datuk V. Subramaniam pada satu sidang media memaklumkan telah mencapai persetujuan bersama Misbun untuk berpisah susulan prestasi hambar skuad badminton remaja di Kejohanan Remaja Asia yang berlangsung di Jogjakarta, Indonesia, baru-baru ini.

Bagaimanapun, Misbun dalam sidang media semalam menafikan perkara itu, malah mendakwa dia diberhentikan tanpa sebarang pembelaan dan bukan persetujuan bersama.

Sementara itu, Hannah mengucapkan tahniah kepada atlet wushu Tammy Tan Hui Ling yang menamatkan penantian 38 tahun untuk pingat emas sulung Malaysia di Sukan Universiti Dunia (Universiade) di Chengdu, China pada Ahad lepas menerusi acara Qiangshu wanita, manakala Umar Osman berjaya memecahkan rekod kebangsaan acara olahraga 400m lelaki, hari ini.

"Ia membuktikan jika fokusnya betul dan pendedahan diberikan kepada atlet muda, mereka mampu ' terbang tinggi' di persada antarabangsa," katanya.

Hannah berharap dengan sokongan yang diberikan Kementerian Belia dan Sukan (KBS), sukan wushu akan terus cemerlang dan fokus seterusnya adalah Sukan Asia.

Menurutnya KBS baru-baru ini juga membawa Umar dan pelari pecut, Muhammad Azeem Mohd Fahmi ke sekolah untuk menarik minat kanak-kanak dalam sukan, selain memberi peluang kepada murid berlari di trek Stadium Nasional Bukit Jalil.

"Jadi saya percaya kita akan ada banyak lagi bintang baharu dalam olahraga, memandangkan olahraga, renang dan sukan tempur adalah sukan yang kita mesti lakukan dengan baik kalau nak kejar emas (di temasya antarabangsa," katanya.

Dalam pada itu, ketua kontinjen negara ke Sukan Remaja Komanwel Ang Li Peng berkata seramai 14 atlet berusia 14-18 tahun daripada sukan renang, olahraga dan berbasikal (lebuh raya dan trek) akan mewakili Malaysia pada temasya itu.

Beliau yakin mereka akan berjuang dengan baik, walaupun tiada sasaran ditetapkan untuk mengelakkan tekanan.

-- BERNAMA