KUALA LUMPUR: Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dan Pengarah Kejurulatihan Perseorangan Remaja Akademi Badminton Malaysia Datuk Misbun Sidek bersetuju secara bersama untuk berpisah berkuat kuasa hari ini.

Timbalan Presiden BAM Datuk V. Subramaniam berkata keputusan itu dibuat oleh jawatankuasa khas yang diketuai oleh beliau susulan prestasi hambar skuad badminton remaja di Kejohanan Remaja Asia yang berlangsung di Jogjakarta, Indonesia, baru-baru ini.

"Kami (jawatankuasa khas) telah berbincang panjang lebar dengan pihak berkepentingan dan telah membuat keputusan iaitu keadaan perlu berubah menjadi lebih baik.

"Jadi Datuk Misbun faham dan kami fikir adalah adil untuk kita mengorak langkah baharu," kata Subramaniam pada sidang media di sini hari ini.

Misbun yang menyertai semula BAM untuk kali kedua pada 2017, sepatutnya mempunyai kontrak dengan badan induk badminton negara itu sehingga akhir tahun ini.

Walaupun sedih dengan keputusan di Jogjakarta, Subramaniam mengambil peluang mengucapkan penghargaan kepada Misbun berikutan usaha kerasnya selama ini termasuk menyediakan pemainnya cara terbaik untuk maju ke hadapan.

"Misbun telah menjadi teladan dalam peranannya sebagai pengarah pembangunan. Dari hari beliau dilantik, beliau berkhidmat dengan penuh semangat dan komited untuk pembangunan pemain muda kita. Kami berterima kasih atas sumbangan dan khidmat baktinya," katanya.

Skuad remaja kebangsaan pada Kejohanan Remaja Asia (AJC) di Jogjakarta baru-baru ini mempamerkan prestasi hambar apabila tewas kepada juara bertahan, Thailand 0-3 di peringkat suku akhir acara berpasukan campuran dan tiada seorang pemain pun layak ke separuh akhir bagi saingan perseorangan.

Kali terakhir Malaysia memenangi pingat dalam kejohanan berkenaan adalah pada 2018 menerusi beregu wanita remaja ketika itu Pearly Tan-Toh Ee Wei yang meraih perak, selain membantu skuad negara memperoleh gangsa bagi acara berpasukan campuran.

Sementara BAM berusaha mencari pengganti Misbun, beliau berkata Mohd Hazwan Jamaluddin akan membimbing skuad perseorangan bawah 18 tahun manakala Ameer Zainuddin sebagai jurulatih skuad perseorangan bawah 15 tahun.

Sementara itu, Subramaniam berkata jawatankuasa khas itu telah mengesyorkan agar pemain junior kebangsaan yang membuat persiapan menghadapi Kejohanan Remaja Dunia 2023 di Spokane, Washington dari 25 Sept hingga 8 Okt ini perlu berlatih bersama pasukan senior kebangsaan.

Justeru, beliau percaya pemain junior akan mendapat banyak manfaat dengan latihan dan sparring dengan senior kerana pertemuan junior dunia adalah pertandingan yang sangat mencabar.

Pada masa yang sama, Subramaniam berkata mereka akan mengambil kira maklum balas mereka yang terlibat secara langsung dengan persediaan junior tentang program latihan semasa serta sebarang perubahan yang dicadangkan untuk kebaikan pembangunan pemain.

Misbun dalam satu kenyataan merakamkan ucapan terima kasih kepada BAM atas peluang bekerjasama dengan bintang-bintang yang semakin meningkat itu.

"Ia adalah tempoh khidmat enam tahun yang sangat baik dan saya menikmati setiap masa saya di akademi dan bekerja dengan pemain.

"Saya mengucapkan terima kasih kepada BAM dan Presiden Tan Sri Mohamad Norza Zakaria kerana melantik saya. Ia adalah mencabar tetapi memuaskan. Kita mempunyai pemain yang berbakat dan saya doakan yang terbaik untuk mereka," katanya.

Sebelum ini bekas pemain kebangsaan itu dilantik sebagai ketua jurulatih perseorangan lelaki negara sebelum diturunkan pangkat sebagai pengarah pembangunan remaja kebangsaan pada 2020 diikuti sebagai pengarah kejurulatihan perseorangan remaja ABM tahun lepas.

-- BERNAMA