SHAH ALAM: Persatuan Badminton Malaysia (BAM) meletakkan sasaran sekurang-kurangnya mara ke separuh akhir untuk skuad negara di Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) 2024 di Pusat Konvensyen Setia City di Shah Alam, bermula 13 hingga 18 Feb ini.

Setiausaha Agung BAM Datuk Kenny Goh berkata pihaknya menyerahkan kepada barisan kejurulatihan diketuai Pengarah Kejurulatihan Akademi Badmiton Malaysia (ABM) Rexy Mainaky dalam menentukan pemain bakal berada dalam skuad negara itu.

Beliau yakin barisan pemain terbaik akan dipersiapkan untuk menggalas cabaran negara di kejohanan yang turut menjadi medan kelayakan Piala Thomas dan Uber yang dijadual berlangsung di Chengdu, China pada 28 April hingga 5 Mei depan.

"Setakat ini mungkin barisan kejurulatihan masih memerlukan masa jadi kami masih menunggu senarai pemain badminton negara sebab tarikh akhir ialah 26 Jan untuk membuat pendaftaran pemain.

"...kami sasarkan untuk sekurang-kurangnya layak ke separuh akhir sebab empat pasukan terbaik memang layak (ke Piala Thomas dan Piala Uber) dan mara secara merit," katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran kejohanan berkenaan di Courtyard by Marriot Setia Alam di sini hari ini.

Ditanya sama ada pemain perseorangan lelaki negara Ng Tze Yong yang mengalami kecederaan koyak otot di bahagian belakang baru-baru ini berpeluang menyertai skuad negara, Kenny berkata masih terlalu awal untuk membuat keputusan dan meminta semua pihak memberi sedikit masa kepada naib juara Terbuka Artik 2023 itu.

Tze Yong sebelum ini terpaksa menarik diri daripada pusingan pertama Terbuka Malaysia ketika ketinggalan 8-12 dalam set pertama, menentang Koki Watanabe dari Jepun pada 10 Jan seterusnya menarik diri daripada Terbuka India (16 hingga 21 Jan).

Pemain perseorangan lelaki profesional negara Lee Zii Jia ketika ini menjadi satu-satunya diketahui berada dalam senarai skuad negara apabila beliau mengesahkan penyertaan menerusi platform media sosial Team LZJ untuk bermain dalam acara berpasukan lelaki pada 11 Jan lepas.

Kejohanan BATC 2024 menyaksikan 15 pasukan dengan China, Indonesia, Jepun dan penyandang juara Malaysia sebagai empat pasukan teratas diikuti India, Taiwan, Thailand, Korea Selatan, Hong Kong, Singapura, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Kazakhstan, Arab Saudi, Myanmar dan Brunei akan bersaing bagi mengesahkan tempat lebih awal pada Piala Thomas.

Saingan secara merit ke Piala Uber pula menyaksikan penyertaan 11 negara iaitu China, Jepun, Thailand, juara bertahan Indonesia, Taiwan, India, Malaysia, Hong Kong, Singapura, UAE dan Kazakhstan.

Pada edisi BATC 2022, Malaysia menjuarai acara berpasukan lelaki manakala berkongsi tempat ketiga dan keempat bersama Jepun acara berpasukan wanita.

-- BERNAMA