SHAH ALAM: Memenangi perlawanan dalam kumpulan lelaki dan wanita pada Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) 2022 semalam, pastinya satu kegembiraan buat kem Malaysia.

Skuad lelaki memulakan kempen Kumpulan B di Pusat Konvensyen Setia City di sini dengan kemenangan 5-0 menentang negara jiran Singapura manakala pasukan wanita meneruskan momentum kemenangan mereka dengan mengetepikan India 3-2 untuk menempah tiket separuh akhir sebagai juara Kumpulan Y, serta layak ke Piala Uber secara merit.

Pemain perseorangan lelaki utama negara Lee Zii Jia, yang menduduki tempat ketujuh dunia, mempamerkan prestasi cemerlang untuk mengatasi juara dunia Loh Kean Yew 21-6, 21-14 dalam perlawanan 30 minit sahaja, untuk mendapat mata pertama.

Kemenangan itu juga menamatkan dua kekalahan berturut-turut Zii Jia daripada lima pertemuan menentang musuh zaman kanak-kanaknya itu, pada Terbuka Perancis 2021 dan final Terbuka Hylo 2021 di Jerman apabila beliau terpaksa menarik diri akibat kecederaan.

Pemenang pingat gangsa Olimpik Tokyo 2020 Aaron Chia-So Wooi Yik menggandakan kelebihan buat Malaysia selepas berjaya menewaskan pasangan Danny Bawa Chrisnanta-Wesley Koh Eng Keat 21-14, 21-12.

Memasuki perlawanan ketiga, kira-kira 200 penyokong tuan rumah terpaksa mengharungi saat-saat genting apabila pemain berusia 21 tahun, Ng Tze Yong bangkit daripada permulaan yang buruk untuk mengatasi Jason Teh Jia Heng dalam perlawanan yang berlangsung selama sejam 18 minit.

Selepas tewas pada set pertama 17-21 dan banyak ketinggalan pada set kedua, juara Terbuka Scotland itu berjaya menang 24-22, 21-19 untuk meraih mata kemenangan seterusnya buat Malaysia yang merupakan naib juara bagi edisi lepas.

"Saya rasa tidak yakin kerana tidak mempunyai persediaan mencukupi dengan hanya satu minggu latihan. Tetapi saya berjaya mendapatkan kembali keyakinan dan rentak pada perlawanan kedua dan ketiga. Pastinya saya tidak mahu mengalah sebelum perlawanan tamat," katanya kepada pemberita selepas perlawanan.

Beregu kedua Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Mohd Rumsani pula dengan mudah menumpaskan Terry Hee Yong Kai-Andy Kwek Jun Liang 21-10, 21-13 dalam masa kurang 30 minit, sebelum Leong Jun Hao memberikan kemenangan bersih buat Malaysia dengan mengalahkan Joel Koh Jia Wei 21-17, 22-20.

Dalam saingan wanita, S. Kisona akhirnya menamatkan kemarau lapan kekalahan berturut-turut dalam semua pertandingan selepas berjaya menundukkan Aakarshi Kashyap 21-16, 18-21, 21-16 dalam perlawanan lebih sejam untuk memberi mata pertama buat Malaysia.

Kemenangan terakhir Kisona adalah ketika merangkul kejuaraan Kejohanan Badminton Antarabangsa Sepanyol menewaskan rakan senegara Goh Jin Wei pada Jun tahun lepas.

Gandingan Valeree Siow Zi Xuan-Pearly Tan meneruskan kelebihan dengan menumpaskan Khushi Gupta-Mehreen Riza 21-1, 21-6, namun Siti Nurshuhaini Azman yang beraksi cemerlang mengalahkan Jepun pada Selasa, tewas kepada Ashmita Chaliha 11-21, 19-21.

Malaysia bagaimanapun, melakar kemenangan apabila pemenang Kejohanan Badminton Antarabangsa Syed Modi, Anna Ching Yik Cheong-Teoh Mei Xing menumpaskan Arul Bala Radhakrishnan-Nila Valluvan 21-10, 21-12, manakala Myisha Mohd Khairul kalah kepada Tara Shah 16-21, 15-21.

"Kami gembira untuk menang perlawanan, walaupun lawan masih muda, kami fokus dapatkan satu demi satu mata. Apa yang lebih penting ialah, kemenangan ini membantu Malaysia layak ke Piala Uber secara merit," kata Mei Xing.

Mengenai separuh akhir yang dijadualkan pada Sabtu, pasangan itu lebih berminat untuk menentang Jepun atau Indonesia berbanding Korea Selatan yang lebih kuat dalam acara beregu.

Pada Selasa, skuad wanita negara menewaskan juara bertahan Jepun 3-2.

-- BERNAMA