KUALA LUMPUR: Bekas pemain golf kebangsaan M. Ramayah meninggal dunia pada usia 67 tahun, hari ini.

Menurut The Star, beliau meninggal dunia pada jam 10.20 pagi tadi di Hospital Canselor Tuanku Muhriz Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Cheras, di ibu negara selepas bertarung dengan penyakit kanser sejak bulan lalu.

Difahamkan, Ramayah disahkan menghidap kanser tulang belakang tahap empat.

Beliau meninggalkan isterinya Pathma dan anak perempuannya yang berusia 14 tahun, Bhakialakshmi.

Untuk rekod, Ramayah merupakan pemain golf nombor satu Malaysia dan bakatnya menjadi perhatian di rantau ini antara 1976 dan 1997.

Beliau pernah menyertai 13 Piala Dunia dan merupakan salah satu daripada beberapa pemain golf tempatan yang pernah bermain dengan Tiger Woods sekaligus bermain dalam perlawanan sama dengan pemain Amerika ketika Malaysia menjadi tuan rumah pada 1999.

Dalam pada itu, Ramayah dan pasangan P. Gunasegaran mewakili negara dalam kejohanan yang dimenangi Woods dan pasangannya Mark O'Meara.

Sementara itu, Ramayah dan Gunasegaran menduduki tempat kesembilan pada Piala Dunia 1994 di Puerto Rico yang merupakan pencapaian terbaik oleh pasangan ini.