Kurang tumpuan kepada bola sepak di peringkat sekolah rendah menjadi faktor kelemahan sukan itu di negara ini.

Sejarahwan Profesor Emeritus Tan Sri Dr Khoo Kay Kim berkata, kelemahan itu akan terus menghantui kecemerlangan bola sepak negara selagi ia tidak segera diberi perhatian pihak sepatutnya.

"Perbezaan penekanan kerajaan kini berbanding 20 atau 30 tahun dahulu dalam sukan berkenaan benar-benar dirasai.

"Cakap sahaja tidak boleh, zaman dahulu pemerintah menjamin supaya di sekolah dan setiap bandar juga di setiap kampung ada badan yang menguruskan kegiatan sukan. Oleh sebab itu kita dapati sentiasa ada pertandingan sukan pada masa itu," katanya selepas pembentangan mengenai sejarah bola sepak negara di Universiti Malaya pada Jumaat.

Skuad bola sepak negara jatuh ke paras terendah pernah dicatatnya dalam ranking Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) apabila sekali lagi berada pada kedudukan ke 171 dalam senarai ranking terkini yang dikeluarkan pada awal Januari.

Malaysia yang jatuh ke kedudukan 171 dalam ranking Oktober tahun lalu tetapi menaiki satu tangga ke kedudukan 170 sebelum kemudian, sebelum merosot ke ranking terendahnya, tempat ke-171 sejak sistem ranking diperkenalkan FIFA pada Disember 1992.

Dalam pada itu katanya, harapan skuad bola sepak negara untuk ke Piala Dunia mungkin tercapai seandainya diwujudkan program khas untuk pelajar seawal di sekolah rendah.

Mengulas isu ketua jurulatih kebangsaan yang baharu, Datuk Ong Kim Swee, Kay Kim menjelaskan, Kim Swee telah membuktikan kemampuannya semasa menjadi jurulatih skuad Harimau Muda A dari 2009-2014.

"Kalau dalam dua atau tiga tahun skuad kita masih begitu, dia sendiri harus berundur.

"Saya tetap rasa susah kerana kita memberi pembelajaran bola sepak kepada orang yang sudah besar dan bukan melatih pemain sejak dari kecil," katanya.

Sebelum ini, Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Datuk Abdul Mokhtar Ahmad berkata, Kim Swee perlu memperbaiki kedudukan pasukan Harimau Malaya dalam ranking dunia yang kini menghuni tangga ke-171 kepada 140.

Selain itu, pelantikan Kim Swee penting dalam persiapan skuad kebangsaan menghadapi Kejohanan Piala AFF Suzuki 2016 dari 28 November hingga 18 Disember ini.