Selepas 12 hari dengan 36 perlawanan berlangsung, bola sepak Piala Dunia 2014 kini mula menyaksikan kemaraan beberapa pasukan yang dapat disimpulkan sebagai pilihan kebanyakan peminat bola sepak.

Tidak kurang juga beberapa kejutan penyingkiran awal skuad-skuad pilihan termasuk England dan pemenang piala berprestij bola sepak taraf dunia itu pada edisi 2010, Sepanyol.

Berikut ialah pasukan-pasukan yang telah mara ke pusingan kalah mati 16 pasukan terbaik sehingga Selasa, 24 Jun 2014.

Piala Dunia
James Rodriguez meraikan jaringannya bersama rakan-rakan sepasukan selepas berjaya menjaringkan gol ketiga Colombia yang menyaksikan Colombia menundukkan Greece tiga gol tanpa balas. - Foto AP/ Fernando Vergara

Layak ke pusingan kalah mati

Kumpulan A: Brazil & Mexico
Kumpulan B: Belanda dan Chile
Kumpulan C: Colombia
Kumpulan D: Costa Rica
Kumpulan E: Perancis
Kumpulan F: Argentina
Kumpulan H: Belgium

Tersingkir di peringkat Kumpulan

Kumpulan A: Croatia dan Cameroon
Kumpulan B: Sepanyol dan Australia
Kumpulan D: England
Kumpulan E: Honduras
Kumpulan F: Bosnia dan Herzegovina

Piala Dunia
Seorang penyokong Chile menunjukkan slogan 'Selamat Tinggal Sepanyol' selepas pasukan itu itu tewas 0-2 kepada Chile dan sekaligus tersingkir dari saingan Piala Dunia. - AFP PHOTO / MARTIN BERNETTI

Masih bernafas

Sementara itu, edisi kali ini turut menyaksikan beberapa peluang yang masih terbuka walaupun tipis untuk beberapa pasukan meraih tempat di pusingan kalah mati yang bakal bermula pada Ahad nanti.

Berikut ialah ulasan peluang skuad yang masih mempunyai harapan untuk mara mengikut kumpulan;

Kumpulan C: Jepun, Ivory Coast dan Greece bakal merebut slot terakhir untuk layak ke pusingan kalah mati. Namun begitu, peluang dilihat lebih cerah untuk Ivory Coast yang kini telah mempunyai tiga mata berbanding Jepun dan Greece yang masing-masing sekadar satu mata.

Tetapi harus diingat bahawa saingan penentuan terakhir yang bakal berlangsung ialah di antara Jepun menentang Colombia (telah mara dengan dua kemenangan, enam mata) dan Ivory Coast menentang Greece di mana Greece turut terdesak bagi mendapatkan tiga mata penuh untuk mara.

FOTO: Perlawanan pembukaan Piala Dunia 2014: Brazil vs Croatia

Kumpulan D: Ekoran penyingkiran awal England dan kemaraan Costa Rica, slot terakhir kini menjadi rebutan antara Itali dan Uruguay yang sememangnya bakal ditentukan dalam perlawanan terakhir antara mereka.

Kedua-dua pasukan terikat dengan tiga mata sama, namun kelebihan gol dilihat memihak kepada Itali.

Kumpulan E: Ecuador dan Switzerland bakal sengit di perlawanan terakhir kumpulan ini kerana masing-masing terikat dengan tiga mata. Namun sekiranya mereka seri, Ecuador mempunyai peluang lebih kerana kelebihan gol.

FOTO: Si manis di Piala Dunia FIFA 2014

Kumpulan F: Nigeria dan Iran perlu bersaing di antara satu sama lain setelah kemaraan Argentina dan penyingkiran Bosnia. Nigeria buat masa ini mempunyai kelebihan empat mata, namun masih berpeluang disingkirkan sekiranya mereka tunduk kepada Argentina dan Iran menang ke atas Bosnia.

Kumpulan G: Kumpulan paling sengit dengan masih belum ada yang mara mahupun tersingkir. Ini kerana Jerman dan Amerika Syarikat (AS) masing-masing berkongsi empat mata manakala Ghana dan Portugal berkongsi satu mata masing-masing.

Apa saja bermungkinan berlaku dalam kumpulan ini dan segalanya akan diputuskan pada tengah malam 26 Jun ini.

FOTO: Pelbagai gaya rambut Piala Dunia Brazil

Kumpulan H: Algeria perlu menang dalam perlawanan menentang Rusia sekiranya tidak mahu tersingkir walaupun memiliki memiliki tiga mata buat masa ini kerana mereka ‘berpeluang’ tersingkir sekiranya Korea berjaya menundukkan Belgium yang telah layak ke pusingan 16 terbaik. Korea mempunyai satu mata.

Piala Dunia, Lionel Messi, Argentina
Pemain Argentina, Lionel Messi meraikan gol keduanya ketika perlawanan kumpulan F Piala Dunia FIFA 2014 menentang Bosnia di Stadium Maracana, Rio de Janeiro, Brazil. - AP Photo/Victor R. Caivano

Ini pula pasukan pilihan penulis yang bakal melengkapkan 16 skuad di pusingan kalah mati.

Kumpulan C: Ivory Coast
Kumpulan D: Uruguay
Kumpulan E: Ecuador
Kumpulan F: Iran
Kumpulan G: Jerman dan Ghana
Kumpulan H: Algeria

Kempen Piala Dunia 2014 masih berbaki 20 hari dengan sejumlah 28 perlawanan masih belum dilangsungkan.

Untuk rekod, hanya lapan negara pernah memenangi piala berprestij sukan bola sepak ini sejak diperkenalkan pada 1930 iaitu Brazil sebanyak lima kali, Itali (4), Jerman (3), Argentina (2), Uruguay (2), dan sekali masing-masing bagi Perancis, England serta Sepanyol.

Pemenang tahun ini akan diketahui menerusi perlawanan akhir pada pukul 3 pagi, 14 Julai ini.