BINTANG Manchester United, Scott McTominay bakal kerugian ASD1.28 juta (RM4.7 juta) selepas melabur dalam perniagaan yang gagal diuruskan oleh bapa tunangnya, Cameron Reading.

Cameron dan bapanya Ashley mengendalikan sebuah firma bernama Fortress Capital Partners, yang muflis tahun lepas. Ia berhutang ASD23.08 juta dan meninggalkan 230 orang di firma terbabit, lapor The Sun.

Fortress Capital Partners meminjam daripada beberapa pelabur, termasuk daripada Shane Lynch, ahli kumpulan terkenal Ireland, Boyzone dan meminjamkannya pada kadar faedah yang lebih tinggi.

Keluarga Readings juga membelanjakan berjuta-juta untuk membeli hartanah mewah di UK, Dubai dan Sepanyol. McTominay turut meminjamkan firma itu ASD1.28 juta untuk membeli sebuah hartanah di Portugal.

Pemain tengah Scotland itu dijangka hanya mendapat kembali ASD128,000 kerana pelabur hanya akan mendapat 10 sen bagi setiap dolar, lapor Daily Mail.

Cameron, yang berhutang dengan firma itu ASD1.53 juta, sering menyiarkan tentang kehidupan mewahnya di media sosial, menimbulkan kemarahan pelabur.

Seseorang yang kehilangan beribu-ribu kerana firma itu memberitahu The Sun: "Terdapat foto Cameron meniup ciuman dengan segelas champagne di bilik hotel Claridge bersama Scott.

"Ia benar-benar ibarat menyapu garam di luka bagi kita yang telah kehilangan wang simpanan kami atau kehilangan tempat tinggal. Terdapat satu lagi gambar dari Instagram Ashley, isterinya, Cameron dan adik perempuannya. Mereka kelihatan sentiasa pergi bercuti. Pada satu ketika, mereka berada di Dubai selama berbulan-bulan."

Susulan itu, Cameron terpaksa menjual hartanah di Dubai dan Sepanyol untuk membayar hutangnya.

Daripada menjadi penjaga bangku untuk Manchester United musim lalu, McTominay, 27, telah menjadi salah seorang pemain utama di bawah pengurus Erik Ten Hag, menjaringkan gol penting yang membawa kemenangan.

Dia juga menyumbang kepada kelayakan Euro 2024 Scotland dengan golnya.

*Artikel asal yang disiarkan di Stadium Astro