ANKARA: Susulan kekalahan Perancis kepada Argentina pada final Piala Dunia FIFA 2022 yang berlangsung Ahad, akaun media sosial Kingsley Coman dan Aurelien Tchouameni menjadi sasaran kecaman selepas perlawanan tamat.

Bayern Munich, mengecam komen hinaan berunsur perkauman yang ditujukan kepada pemain mereka, lapor Agensi Anadolu.

"FC Bayern mengutuk sekeras-kerasnya komen berbaur perkauman yang dibuat terhadap Kingsley Coman.

"Keluarga FC Bayern berada di belakang anda. Sikap rasis tidak mempunyai tempat dalam sukan atau masyarakat kita," menurut kenyataan kelab Jerman itu.

Beberapa pemain Britain seperti Marcus Rashford, Jadon Sancho, dan Bukayo Saka, turut menerima kecaman berunsur perkauman selepas gagal menyempurnakan penalti tahun lalu dalam perlawanan akhir EURO 2020, yang mengakibatkan England kalah menentang Itali.

-- BERNAMA