LEGA rasanya mendengar khabar ada bakat muda yang meneruskan legasi Nicol David.

Malaysia menanti dan puas mencari individu itu di seluruh pelusuk Malaysia.

Dengar kata ada seorang pemain dari Negeri Jelapang Padi dilihat ada potensi untuk mara ke peringkat tertinggi dunia.

Mungkin nasi istimewa di negeri Kedah membantu para pemain remaja Kedah mendominasi kejohanan-kejohanan remaja Malaysia dalam setahun dua ini.

Kalau di Pulau Pinang, ada yang mengatakan atlit bertaraf dunia seperti Lee Chong Wei dan Nicol David dilahirkan kerana air yang diminum di Pulau Mutiara ini.

Macam-macam.

Tapi macam mana hendak mencari pelapis Nicol?

Saya terkejut apabila Yeoh Li Ying, Penerbit Nadi Arena mengajukan soalan itu.

Namun, lega saya apabila mendapat berita gembira tadi.

Lebih yakin saya untuk memberi jawapan kepadanya.

S.Sivasangari pemain Kedah berusia 17 tahun menjulang kejuaraan profesionalnya di Sirkit Skuasy Jelajah Malaysia, Melaka pada 31 Mac 2016.

Bermain dengan yakin untuk menewaskan pemain Hong Kong, Ho Tze Lok dalam 3 game, pemain remaja kebangsaan ini bertekad untuk meneruskan momentum positif ini terutama di kejohanan senior.

Impiannya adalah melayakkan diri bermain di Kejohanan Skuasy Wanita Dunia di mana idolanya, Nicol mencapai kejuaraan 8 kali. Kemungkinan kali ke 9 apabila beraksi di edisi 2016 di Kuala Lumpur pada 23 sehingga 30 April ini.

Keluar dari kepompong remaja merupakan misi utama S.Sivasangari jika ingin menjadi pengganti ‘Duracell Bunny’. - Oleh Sharon Wee