BEKAS pembantu Sir Alex Ferguseon di Manchester United Carlos Queiroz mahu Persekutuan Bola Sepak Antrabangsa FIFA mengkaji siapa sebenarnya sosok bernama Lionel Messi. Manusia atau robot?

Selagi belum terbukti penyerang licik Argentina itu adalah manusia, Messi seharusnya dilarang untuk bermain bolasepak.

Begitu hebat gambaran Queiroz mengenai Messi, watak pemusnah yang menjaringkan gol tunggal ketika skuad kendaliannya Iran berdepan Argentina dalam saingan Piala Dunia 2014.

Queiroz dalam temubual bersama FIFA.com menjelaskan Messi adalah pemain yang sentiasa menggamit perhatiannya.

“Saya selalu katakan Messi adalah pemain luar biasa.

“Dia bukan dari dunia ini, Jika dia adalah manusia dia tidak akan mampu mendapatkan detik ajaib dalam perlawanan itu,” kata Queiroz mengimbau kekalahan Iran kepada Argentina.

Dalam perlawanan itu Messi meledakkan jaringan pada minit-minit akhir perlawanan untuk menghadiahkan tiga mata berharga buat Argentina.

Queiroz yang pernah membimbing Portugal sebelum ini meneruskan magisnya bersama Iran apabila sekali lagi membawa negara teluk itu layak ke Piala Dunia.

Piala Dunia Rusia 2018, Iran diundi dalam ‘kumpulan maut’ bersama Portugal. Sepanyol dan Maghribi.