"PELUMBA Moto3 negara, Khairul Idham Pawi, mendapat penajaan yang secukupnya," demikian tegas Boon Siew Honda yang menganggap isu penajaan yang ditimbulkan baru-baru ini lebih kepada keperluan pengiring buat pelumba pasukan Honda Team Asia itu.

Selepas kejayaan terbaru Khairul Idham di Jerman dalam saingan Moto 3 baru-baru ini, isu penajaan kembali disuarakan oleh bapanya sendiri, Pawi Omar.

Boon Siew Honda tampil dengan penjelasan bahawa Khairul Idham merupakan pelumba di bawah kontrak Honda, di mana kesemua perbelanjaan berkaitan kerjayanya seperti tiket penerbangan, penginapan, makanan, gaji bulanan dan lain-lain perbelanjaan yang berkaitan kerjaya pelumba yang mendapat jolokan 'SuperKIP' itu ditanggung sepenuhnya oleh pihak Honda.

Perancangan jangka masa panjang untuk kerjaya Khairul Idham ke peringkat lebih tinggi di pentas antarabangsa juga telah diatur oleh Boon Siew Honda.

Tidak hanya menguruskan perbelanjaan kerjayanya semata-mata, Boon Siew Honda juga bertindak untuk mendapatkan penajaan tambahan peribadi Khairul Idham seperti menandatangani perjanjian bersama Redbull, baru-baru ini.

Boon Siew Honda juga menjelaskan bahawa mereka tidak terlibat dalam mana-mana kempen ataupun permohonan kewangan tambahan yang menjadi perhatian ketika ini.

Menurut Boon Siew Honda, isu yang ditimbulkan itu lebih kepada pembiayaan perbelanjaan yang difikirkan perlu oleh pihak keluarga Khairul Idham seperti menampung kos perbelanjaan untuk mengiringinya ke perlumbaan.